Home Artikel PPP

Kesultanan Samudera-Pasai: Pentadbiran Dan Pemerintahan Islam

1701
SHARE

DAULAH ISLAMIYAH MELAYUWIYAH
Siri 18

KESULTANAN SAMUDERA-PASAI: PENTADBIRAN DAN PEMERINTAHAN ISLAM

PEMBENTUKAN kerajaan Islam pada zaman Samudera-Pasai, 1267-1521M adalah lebih tersusun berbanding dengan kerajaan Perlak (840-1292M) kerana hubungan mereka lebih rapat dengan kerajaan-kerajaan yang besar di Asia Barat, Mesir, Parsi dan India. Corak pentadbiran di Samudera-Pasai bukan hanya wujudnya struktur kerajaan dengan kewujudan wazir-wazir seperti di Perlak, tetapi melibatkan juga institusi-institusi agama yang lebih kukuh, termasuk dalam bidang ekonomi. Keadaan ini membolehkan perlaksanaan syariat dapat dilakukan dengan lebih lancar. Orientalis Portugis, Tome Pires yang mengunjungi Pasai pada awal abad ke-16M mencatatkan bahawa negeri ini adalah sebuah kerajaan yang kaya dan makmur, di mana kegiatan perdagangan yang melibatkan pedagang dari pelbagai negara. Laporan Tome Pires mengesah catatan pengembara Perancis pada abad ke-14M, Odoric de Pordenone tentang kemakmuran ekonominya dan catatan Ibnu Batutah pada pertengahan abad ke-14M tentang perberlakuan syariat dalam pentadbiran kerajaan Samudera-Pasai.

Kekuatan ekonomi dan kemakmuran Samudera-Pasai pada zaman kemuncaknya (1326-1428M) didorong kuat oleh kekuatan pentadbiran dan sistem pemerintahannya. Bahkan, kemakmuran ini menimbulkan kecemburuan kerajaan Siam, Majapahit dan Portugis yang pernah menyerang negeri ini. Sistem pemerintahan yang diadaptasi daripada kerajaan Islam yang besar dan kuat seperti Mamalik di Mesir dan Tughluq di India telah membentuk kecekapan pentadbirannya. Salah satu faktor besar ialah peranan ulamak dalam pentadbiran yang berjaya memandu kerajaan bergerak mengikut lunas-lunas Islam. Tidak dinafikan ada sultan yang dicatatkan oleh Hikayat Raja-raja Pasai sebagai tidak Islamik seperti Sultan Ahmad yang membunuh puteranya dan “berahikan” puterinya, namun ia tidak mewakili keseluruhan pemerintahan yang diketahui sangat taat kepada Islam, sehingga Ibnu Batutah menghormati kealiman Sultan Samudera-Pasai.

Srtuktur Kerajaan Islam

Pentadbiran Islam yang dipraktiskan di Samudera-Pasai tidak jauh berbeza dengan Perlak, tetapi terdapat banyak pembaharuan yang dibuat. Selain menggunakan gelaran “sultan” untuk pemerintahnya, Samudera-Pasai telah menggunakan gelaran yang sama seperti kerajaan Mamalik di Mesir seperti “Malik az-Zahir,” “Malik as-Salleh” dan “Malik al-Mansur,” yang menurut Hamka adalah adaptasi daripada pusat khalifah di Mesir. Kemudian diwujud juga jawatan-jawatan wazir sebagai pembantu sultan yang biasa disebut sebagai “pembesar” dalam kerajaan Melayu. Jawatan-jawatan khusus seperti mufti dan qadhi juga diwujudkan untuk mentadbir agama, sedangkan lembaga pengadilan (mahkamah) dan lembaga hukum (majlis fatwa) pula berfungsi dalam ruang kuasa masing-masing. Ibnu Batutah mencatatkan kewujudan institusi-institusi ini dengan menyatakan nama penjawatnya sekali.

Dalam konteks pertahanan negara, Samudera-Pasai telah menerapkan konsep Darul Islam, Darul Harbi dan Darul Suluh. Ibnu Batutah mengatakan Sultan Samudera-Pasai sangat gigih berjihad ke atas negara-negara kafir sekitarnya, sehingga ada negara yang membayar jizyah kepada Samudera-Pasai. Ini menunjukkan adanya Darul Islam, negara musuh yang kafir (darul harbi) dan negara yang berdamai (darul suluh) dengan membayar jizyah. Jihad telah menjadi mekanisme untuk menghadapi negara-negara ini. Sejarah Melayu mengatakan Samudera-Pasai mempunyai 4,000 hulubalangan dan 100 buah pilu, sedangkan ketika ini penduduknya hanya sekitar 20,000 orang sahaja. Selain kedudukan negara-negara sekitar ini, Samudera-Pasai turut mempunyai hubungan diplomatik di peringkat antarabangsa, khususnya dalam.menghadapi kuasa besar seperti Majapahit dan Siam. Samudera-Pasai mempunyai hubungan dengan khalifah di Kaherah, kerajaan-kerajaan Islam di India, Parsi, Arab dan Anatolia, di samping turut mempunyai hubungan dengan Dinasti Ming di China.

Pentadbiran Islam di Samudera-Pasai

Dalam sistem pemerintahan di Samudera-Pasai ini, satu elemen khusus ialah pentadbiran agamanya, di mana Ibnu Batutah mengatakan bahawa seluruh hukum Islam telah diterapkan dalam pentadbiran kerajaan, yang disifatkan oleh Ayang Utriza Yakin sebagai “syariatisasi.” Proses Islamisasi dan syariatisasi ini berlaku berdasarkan fekah mazhab Syafie, kerana ulamak-ulamak bergiat di Samudera-Pasai kebanyakkannya dari Mesir, Parsi dan India yang ketika itu merupakan pendukung mazhab Syafie. Bagi maksud menjalankan pentadbiran agama, kerajaan telah mewujudkan lembaga-lembaga agama seperti mahkamah syariah dan majlis fatwa. Ibnu Batutah menyebutkan, dalam majlis-majlis kerajaan sejumlah “faqih” akan berfungsi bersama penjawat utama jawatan kerajaan seperti Qadhi Amir Sayyid as-Syirazi. Di sini dapat dilihat dengan jelas pengaruh para ulamak dalam pentadbiran kerajaan, sehingga urusan Islam sentiasa mendapat keutamaan.

Kekuatan pentadbiran agama ini didukung oleh sultan-sultan sendiri. Ads sultan yang dikatakan alim, dermawan, religius, rapat dengan alim ulamak, menggemari majlis ilmu dan suka berjihad untuk meluaskan wilayah Islam. Dalam konteks pentadbiran kewangan negara, selain sumber zakat dan cukai pelabuhan, kerajaan juga mengutip jizyah daripada negara yang berdamai atau tewas perang, ditubuhkan pula baitul mal dan diperkenalkan wang emas (dinar) yang tercatat nama sultan padanya. Pentadbiran pendidikan agama juga diperkukuhkan dengan setiap mukim diwajibkan mempunyai minimum sebuah dayah, selain meunasah (madrasah) dan balee (balai) untuk belajar agama dan al-Quran. Dayah-dayah yang menjadi pusat pendidikan tinggi juga diwujudkan seperti peranan Dayah Cot Kala pada zaman Perlak. Mereka berjaya melahirkan ulamak-pendakwah yang terkenal melalui sistem pendidikan yang tersusun ini.

Peranan Ulamak Dalam Kerajaan

Salah satu tenaga utama dalam pemerintahan Islam di Samudera-Pasai ialah para ulamak. Tiga peranan besar dimainkan oleh ulamak dalam mengukuhkan kerajaan Islam di Samudera-Pasai iaitu penglibatan dalam pentadbiran, pengembangan ilmu-ilmu Islam dan memacu gerakan dakwah yang didukung oleh pemerintah. Dalam konteks pentadbiran, para ulamak terlibat sebagai wazir, qadhi dan mufti yang sekali gus menggerakkan lembaga-lembaga agama termasuk majlis fatwa, mahkamah syariah, baitul mal dan sebagainya. Kedua, dalam soal pengembangan pendidikan, institusi dayah terus dimajukan sebagai lanjutan terhadap apa yang dibangunkan oleh kerajaan Perlak, majlis-majlis ilmu diperbanyakan termasuk yang dihadiri oleh sultan sendiri, dan ulamak-ulamak dari luar dibawa masuk untuk mengendalikan proses pengajaran dan pembelajaran. Ketika Melaka berada dipuncak kegemilangannya pun, masih menghantar ulamak-ulamak ke Samudera-Pasai untuk mendalami ilmu agama.

Samudera-Pasai juga mencipta nama besar dalam dunia dakwah kerana pemerintah berjaya menggerakkan alim ulamaknya untuk menyebarkan Islam ke seluruh Nusantara. Negeri-negeri seperti Kelantan, Champa, Pattani, Brunei, Filipina dan Jawa mengaitkan secara langsung kemasukan Islam ke negeri masing-masing dengan ulamak Pasai. Di Pattani misalnya, kubur Sheikh Said yang meng-Islamkan Pattani, sampai kini disebut “Makam Tok Pasai.” Dua ulamak Pasai, Sheikh Syarif Kassim dan Sheikh Abu Bakar yang menyebarkan Islam di Brunei dan Sulu, juga dari Pasai. Sedangkan tokoh-tokoh ulamak di kalangan Wali Songo secara jelas disebut dari Pasai, sama ada berasal atau tinggal di Pasai, atau belajar di Pasai ataupun dihantar untuk berdakwah oleh kerajaan Samudera-Pasai. Sheikh Syed Hussein Jamadil Kubra dari India yang menyebarkan Islam di Kelantan, Champa, Jawa dan Makasar, juga bergerak mengikut rancangan dakwah Samudera-Pasai.

MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
19 Syawal 1439 / 3 Julai 2018