Home Artikel PPP

Wajib Sokong Dan Memilih Parti Islam – Sheikh Abdul Qadir Al-Mandili, Pengarang Kitab Penawar Bagi Hati

1726
SHARE

WAJIB SOKONG DAN MEMILIH PARTI ISLAM – SHEIKH ABDUL QADIR AL-MANDILI, PENGARANG KITAB PENAWAR BAGI HATI

SHEIKH Abdul Qadir Abdul Mutallib al-Mandili (1910-1965), ulamak besar yang menjadi guru di Masjidil Haram, Mekah al-Mukarramah ketika menjawab satu soalan yang ditanya oleh seorang pengundi di Tanah Melayu ketika berlangsung Pilihan Raya Umum 1959, telah menjelaskan bahawa wajib bagi umat Islam untuk menyokong dan memilih (mengundi) Parti Islam Se-Malaya (PAS) bagi membolehkan Islam ditegakkan dan hukum Islam dilaksanakan di negara ini.

Sheikh Abdul Qadir yang berasal dari Tapanuli Selatan, Sumatera merupakan murid kepada ulamak besar Tanah Melayu, Sheikh Wan Ibrahim Abdul Qadir (Pak Chu Him Gajah Mati), sebelum beliau berguru denga

n Pak Da ‘Eil al-Fathani, Sheikh al-Maliki, Sheikh Hassan al-Mashat, Sheikh Muhammad al-Arabi, Sheikh Syed al-Alawi dan Sheikh Mohamad Ahyad di Mekah. Turut menjadi guru beliau ialah Sheikh Hasan Yamani, Sheikh Mohamad Nur Saif, Sheikh Yasin Isa al-Fadani, Sheikh Abdullah Lahji dan Sheikh Zakaria Abdullah Bela. Beliau kemudiannya diterima sebagai guru di Masjidil Haram.

Selain mengajar di Mekah, beliau juga merupakan penulis yang prolifik. Kitab beliau yang paling terkenal ialah ‘Penawar Bagi Hati,’ kitab tasawuf yang masih digunakan di masjid-masjid dan menjadi teks sekolah agama di sesetengah negeri di Malaysia. Beliau menghasilkan 24 buah kitab dalam pelbagai bidang termasuk aqidah, syariat, ibadat, tasawuf dan politik Islam.

Fatwa Tentang Sokongan dan Memilih Parti Politik Dalam Pilihan Raya

Beliau ditanyakan perkara berikut:

Di negeri kita ini ada beberapa parti, seperti Parti Kebangssan (Umno) dan Parti Buruh (PBM) dan Parti Rakyat (PR), Parti Komunis (PKM) dan Parti Islam (PAS), dan adalah tujuan segala parti Itu bersalah-salahan, maka Parti Islam itu tujuannya memajukan agama Islam, dan menyuruh dengan segala kebajikan dan menegah daripada segala kejahatan dan mendirikan pemerintah yang berdasarkan Islam yang meluluskan segala perintah Allah Taala dan rasul-Nya SAW. Maka apa hukum masuk kepada segala parti itu? Dan adakah wajib atas tiap-tiap orang Islam mausk dan menyokong akan Parti Islam itu? Dan apa hukum mereka yang mahayid (neutral) yang tiada masuk ia kepada parti mana-mana, dan tiada menyokong ia akan satu parti? Dan apa hukum alim ulamak yang diam ia dan tiada menolong ia akan Parti Islam yang tersebut?

Jawapan Sheikh Abdul Qadir al-Mandili:

Tiada syak pada wajib atas tiap-tiap orang Islam istimewa alim ulamak daripada mereka itu menyokong akan Parti Islam (PAS) yang tujuannya seperti yang tersebut di dalam pernyataan itu, kerana firman Allah Taala yang ertinya “Tolong-menolonglah kamu atas kebajikan dan takut akan Allah Taala,” dan firman Allah Taala yang ertinya “Dan sekalian orang yang beriman yang lelaki dan perempuan setengah mereka itu beberapa yang menolong akan setengah, menyuruh mereka itu dengan kebajikan dan melarang mereka itu daripada mungkar,” dan sabda Nabi SAW yang ertinya “Barang siapa mengetahui ia daripada kamu wahai sekalian mukallaf akan yang mungkar maka hendaklah mengubah ia akan dia dengan tangannya, maka jika tiada kuasa ia akan mengubah dengan tangannya maka hendaklah mengubah ia akan dia dengan perkataannya, maka jika tiada kuasa ia akan ingkar dengan perkataannya maka hendaklah ingkar ia akan dia dengan hatinya dan bermula demikian itu (ingkar dengan hati kerana lemah daripada ingkar dengan yang lain daripadanya) sedhaif-dhaif segala pekerjaan Islam.

Hadis ini hadis sahih, telah diceritakan akan dia oleh Muslim dan Imam Ahmad daripada Abi Said al-Khudri RA. Dikehendaki dengan munkar itu meninggalkan yang wajib atau mengerjakan yang haram. Dan ijma’ oleh ulamak atas wajib menghilangkan akan pekerjaan yang mungkar-mungkar, maka jika terhenti ia atas tolong-menolong dan masuk parti Islam (PAS) supaya mendapat kekuatan maka adalah ia (tolong-menolong dan masuk parti) itu wajib, kerana kaedah (fekah) yang telah maklum pada sisi orang ramai, yang ertinya, “Barang apa yang tiada disempurna oleh yang wajib melainkan dengan dia maka ia wajib,” dan kaedah (fiqh) yang ertinya, “Bagi segala wasilah (yang menyampaikan) hukum bagi segala yang dimaksud.”

Setengah daripada segala yang wajib atas muslimin mendirikan pemerintah yang berdasarkan Islam yang menghukum ia dengan segala hukum yang menurun akan dia oleh Allah Taala. Dan tiada dapat yang demikian itu melainkan dengan lebih banyak orang yang faham Islam di dalam Parlimen (Dewan Perwakilan Rakyat). Maka kerana itu, wajib atas tiap-tiap mukallaf menyokong akan Parti Islam yang tujuannya meluluskan perintah Allah dan menghukum dengan segala hukum yang menurun akan dia oleh Allah Taala. Dan wajib atas sekalian rakyat jelata memilih akan wakilnya di Parlimen daripada mereka yang bertujuan dengan tujuan yang tersebut, supaya hasil oleh tujuan dan maksud yang wajib itu, dan haram atas mereka itu masuk atau menyokong parti yang lain yang tidak ada tujuannya seperti tujuannya yang tersebut, istimewa Parti Komunis kerana firman Allah ta’ala yang bermaksud “Dan jangan tolong-menolong di atas perkara dosa dan permusuhan,” seperti haram atas mereka itu memilih akan wakil di Parlimen darpada mereka yang tidak ada tujuannya melainkan dunia, dan tiada maksudnya meluluskan hukum-hukum Allah Ta’ala. Sekalipun ia daripada orang-orang yang beragama Islam. Kerana dengan sebab memilih dan menyokong parti yang tersebut itu tidak dapat meluluskan segala hukum tuhan, dan tidak dapat melarang segala yang mungkar.

Adapun sekalian mereka yang neutral yang tidak menyokong mereka itu akan Parti Islam dan tidak yang lainnya istimewa alim ulamak daripada mereka itu maka adalah mereka itu daripada segala syaitan yang bisu. Tidak ada mereka itu daripada mukmin yang sempurna. Maka jangan terpedaya oleh orang awam dengan sebab mereka itu. Kerana tidak beramal mereka itu dengan kandungan Hadith Nabi SAW yang ertinya “Beramal orang yang beriman yang sempurna imannya bagi orang yang beriman itu seperti yang dibina (daripada umpama ruman batu) menguatkan setengahnya akan setengah. Menceritakan ia oleh Bukhari dan Muslim dan Tirmizi dan Nasaie daripada Abu Musa RA.

Dan ditakuti bahawa masuk mereka itu di dalam hadith Nabi SAW yang meriwayatkan dia oleh Abu Naim dan lainnya yang ertinya “barang siapa tidak mementingkan ia (tidak menitikberatkan) pekerjaan orang-orang Islam maka tidak ada ia daripada golongan mereka itu (muslimin).” Adapun takut mereka itu akan marah anggota-anggota parti yang lain apabila menyokong mereka itu akan Parti Islam maka tidak ada ia jadi uzur meninggalkan barang yang wajib atas mereka itu daripada menolong yang sebenar dan menyokong saudara-saudaranya pada memajukan agama Allah Taala. Dan tidak ada ia meharuskan bagi mereka itu bahawa mereka itu jadi ular sekerat dan sekeratnya lagi jadi belut. Wallahua’lam.

Petikan fatwa daripada kitab Sheikh Abdul Qadir al-Mandili (1959), Islam: Agama dan Kedaulatan, The United Press, Penang, hal. 49-52

MOHD FADLI GHANI
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
22 Syaaban 1439 / 8 Mei 2018