Home Berita Dewan Ulamak PAS Pusat

Khutbah Jumaat TGHH: Janji Allah Untuk Kemenangan Islam

2083
SHARE

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS – 

JANJI ALLAH UNTUK KEMENANGAN ISLAM

الْحَمْدُ لِلَّهِ صَدَقَ وَعْدَهُ، وَنَصَرَ عَبْدَهُ، وَأَعَزَّ جُنْدَهُ، وَهَزَمَ الْأَحْزَابَ وَحْدَهُ. أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الْبَدْرُ الدُّجَى وَالسِّرَاجُ الْمُنِيرِ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، ٱلرَّحْمَةِ المُهْدَاةِ وَالنِّعْمَةِ الْمُسْدَاةِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُۥوَنَصَرَهُ وَوَالَاهُ.

أَمَّا بَعْدُ:

فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah bertaqwa. Maka demi sesungguhnya berjaya dan selamatlah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

Saudaraku muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah kita mendengar janji Allah s.w.t yang tidak memungkiri janji-Nya sehingga hari kiamat:

وَلَيَنصُرَنَّ اللَّهُ مَن يَنصُرُهُ ۗ إِنَّ اللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ ﴿٤٠﴾ [سورة الحج : ٤٠]

(Maksudnya): Dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agama-Nya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.

Kita telahpun berada dalam bulan Israk dan Mikraj, di mana berlakunya peristiwa Nabi kita Muhammad s.a.w dijemput menjadi tetamu Allah s.w.t. Rasul yang diutuskan untuk seluruh dunia, mendapat tentangan daripada awal-awal lagi di Makkah Al-Mukarramah. Bagaimana Islam boleh berjaya di seluruh dunia, sedangkan di Makkah sudah ditentang dengan hebat, belum lagi berhadapan dengan kuasa-kuasa besar dunia di seluruh dunia sehingga hari kiamat.

Allah s.w.t mematikan Abu Talib dan mematikan Ummul Mukminin Khadijah radhiAllahu ‘anha, dua orang manusia yang mendampingi Nabi s.a.w. Seorang yang berpengaruh dan seorang yang banyak harta dimatikan oleh Allah s.w.t. Ini menyebabkan jasadnya terdedah kepada serangan musuh-musuh Islam yang ada di Makkah.

Di saat yang genting dan dahsyat ketika dikepung ini, Allah s.w.t menjemput Nabi-Nya Muhammad s.a.w menjadi tetamu pada malam Israk dan Mikraj untuk menyaksikan alam yang luas, menyaksikan kerajaan Allah s.w.t yang tidak terhingga dari bumi, langit dan seluruhnya. Juga menyaksikan alam yang nyata dan alam yang ghaib, menyaksikan makhluk yang dapat dilihat dan yang tidak dapat dilihat, menyaksikan alam dunia dan alam akhirat yang kekal abadi, untuk menyatakan nahawa semua kuasa besar dunia itu adalah habuk yang halus di hadapan kekuasaan Allah s.w.t.

Setelah Islam dimenangkan oleh Allah s.w.t dengan berlakunya hijrah di Madinah Al-Munawwarah, Islam menghadapi kepungan bala tentera Ahzab, apabila Ahzab (kumpulan-kumpulan atau puak-puak) Ahli Kitab dan golongan Musyrikin menubuhkan bala tentera, mengepung Madinah untuk menghancirkan Islam serta membunuh Rasul dan pengikut-pengikutnya dalam keadaan umat Islam yang terlalu kecil jumlahnya sedangkan tentera Ahzab berlipat kali ganda, Allah s.w.t membinasakan bala tentera Ahzab.

Dan Allah s.w.t telah menurunkan Al-Quranul Karim yang di dalamnya ada kisah-kisah yang menarik seperti kisah-kisah nabi di zaman dahulu. Adam a.s diutuskan oleh Allah s.w.t sebatang kara membawa Islam di bumi yang tidak ada pengikut, lalu dikembangkan zuriat keturunannya.

Dilahirkan Nuh a.s yang berjuang sela seribu tahundengan pengikut-pengikut yang sedikit. Orang mengatakan mustahil Nuh mencapai kemenangan. Setelah berjuang selama seribu tahun, bila tiba masanya, Allah s.w.t menenggelamkan mereka yang menentang Islam.

Ibrahim a.s seorang diri menghadapi Namrud yang memerintah dunia yang akhirnya boleh mengalahkan Namrud. Bila tiba masanya, Ibrahim dihalau dari tanahairnya berhijrah ke Palestin, Namrud dibinasakan dengan bala tentera nyamuk sahaja.

Allah s.w.t menundukkan Firaun yang mempunyai berjuta bala tentera menentang Nabi Musa a.s yang bersenjatakan mukjizat tongkat dan lidah yang bercakap dalam keadaan gagap-gagap. Orang menganggap mustahil Firaun dapat dijatuhkan, tetapi apabila tiba masanya, Firaun dan bala tenteranya ditenggelamkan oleh Allah s.w.t.

Begitulah juga Nabi Muhammad s.a.w yang diutuskan ke seluruh dunia dan itulah pengikutnya yang menyambung perjuangan sehingga hari kiamat. Bila wafatmya Nabi s.a.w, berlaku kabilah-kabilah arab yang murtad (keluar daripada Islam). Hanya yang tinggal di Madinah, di Makkah, di Taif, di Bahrain dan di Muskat, serta sedikit kabilah-kabilah arab. Sebahagiannya murtad disokong oleh dua kuasa besar dunia Parsi dan Rom. Allah s.w.t mengalahkan golongan murtad dan menjatuhkan kuasa besar dunia Parsi dan Rom. Islam memerintah dunia di tiga benua besar iaitu di Asia, Afrika dan sebahagian Eropah; negeri yang luas dengan pemerintahan Islam yang adil dan rahmat kepada seluruh dunia.

Allah s.w.t melakukan pasang surut, Islam mengalami zaman surut, tanahair umat Islam dijajah dan ditakluk oleh musuh-musuh Islam sehingga hari ini. Kita menyaksikan dalam perjalanan sehingga hari ini tanahair umat Islam menjadi medan perang dunia yang pertama, perang dunia yang kedua dan akan jadi medan perang dunia yang ketiga yang akan berlaku bila-bila masa sahaja. Di tengah-tengah kuasa besar yang berperang menggunakan senjata pemusnah, yang menang jadi arang dan yang kalah jadi abu, tetapi Islam tidak boleh dipadamkan cahayanya sekali-kali.

Inilah janji Allah s.w.t. Mereka yang beriman percaya kepada janji ini akan bersama dengan Islam. Manakala mereka yang munafik atau yang lemah imannya dalam keadaan yang kelam-kabut. Marilah kita yakin bahawa hidup dan mati bersama dengan Islam.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اصْبِرُوا وَصَابِرُوا وَرَابِطُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ ﴿٢٠٠﴾ [سورة آل عمران : ٢٠٠]

(Maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.