Home Artikel PPP

Tumbangkan kerajaan zalim demi tamadun Malaysia yang sejahtera

1846
SHARE

TUMBANGKAN KERAJAAN ZALIM DEMI TAMADUN MALAYSIA YANG SEJAHTERA

SUDAH lebih 60 tahun negara ini diperintah oleh BN (dahulunya Perikatan). Kezaliman, penindasan dan penyelewengan adalah perkataan yang sentiasa meniti di bibir rakyat dalam menggambarkan warna Kerajaan BN. Walaupun mereka cuba memberikan wajah merakyat, islamik dan berkebajikan sebagai kosmetik dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14, ternyata ia tidak mampu menutupi bangkai kezaliman, penindasan dan penyelewengan yang telah mereka lakukan.

Dalam sejarah orang Melayu, telah masyhur satu perjanjian (waad) antara pemimpin dengan rakyat seperti yang tercatat dalam Silalatus Salatin (Sejarah Melayu), iaitu antara Sang Sapurba (raja/pemerintah) dengan Demang Lebar Daun (mewakili rakyat). Dalam perjanjian ini, Demang Lebar Daun telah meminta kerajaan (Sang Sapurba) supaya memelihara kebajikan dan keadilan kepada rakyat jelata, dan jika rakyat menderhaka mereka boleh dihukum mengikut hukum Allah. Sang Sapurba pula meminta supaya rakyat memberikan ketaatan kepada kerajaan. Demang Lebar Daun kemudiannya telah bersetuju dengan syarat kerajaan mesti melaksanakan tanggungjawab mereka. Akhirnya, mereka berdua berikrar bahawa sesiapa yang mencerobohi perjanjian ini, maka biarlah Allah menentukan balasannya.

Konsep perjanjian kerajaan-rakyat yang dibawa dalam Silalatus Salatin yang berkait kebertanggungjawaban kerajaan dan ketaatan rakyat ini adalah bertepatan dengan kehendak Islam. Di mana, dalam surah an-Nisa’ ayat 59, Allah memerintahkan rakyat mentaati kerajaan (ulil amri) selagi mana mereka mentaati Allah dan Rasul. Dalam ayat 26, surah Shaad pula, Allah memerintahkan supaya kerajaan memerintah dengan adil berdasarkan wahyu (al-haq) dan jangan mengikuti hawa nafsu dengan melakukan kezaliman, penindasan dan penyelewengan.

Kemunculan kerajaan-kerajaan Melayu Islam sejak berdirinya Kerajaan Perlak dalam tahun 840 Masehi sehingga zaman penjajahan pada abad ke-16, telah memperlihatkan kegemilangan tamadun Melayu Islam ketika raja memerintah dengan adil dan mengamalkan syura. Raja-raja terkenal seperti Maulana Sayyid Abdul Aziz di Perlak, Sultan Malikul Zahir di Pasai, Sultan Alauddin Riayat Shah di Melaka, Sultan Agung di Mataram, Sultan Ageng Tirtayasa di Banten, Sultan Iskandar Muda di Aceh, Sultan Badaruddin di Sulu, Sultan Mahmud Badruddin II di Palembang dan Sultan Mansur di Kelantan, adalah raja yang tersohor adil dan mengamalkan pemerintahan secara Islam, yang menjadi kemuncak kegemilangan kerajaan masing-masing. Teori-teori pentadbiran adil yang terungkap dalam pemikiran politik Melayu Islam seperti mana terkandung dalam Tajus Salatin, Bustanus Salatin, Safinat al-Hukkam, Thammarat al-Muhimmah, Muqaddimah fi Intizam Wazaif al-Muluk, Budi Istirahat Bustan Arifin dan lain-lain, telah menjadi panduan kerajaan Melayu dalam memberikan keadilan kepada rakyat.

Namun begitu, di celah-celah sejarah ini, terungkap pepatah “raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah.” Terdapat raja-raja yang zalim dan menindas rakyat, sekali gus melanggar waad Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun, yang kemudiannya mengakibatkan keruntuhan kerajaan mereka. Nah! Lihat bagaimana kezaliman Sultan Mahmud Shah di Melaka merampas isteri Tun Ali, Tun Fatimah yang dijadikan permaisurinya, kemudian membunuh Bendahara Seri Maharaja Tun Tahir, bapa Tun Fatimah, sebelum menzalimi rakyat dalam peristiwa peminangan Puteri Gunung Ledang. Akhirnya Melaka jatuh ke tangan Potugis pada 1511. Hikayat Raja Pasai pula merekodkan, Raja Ahmad Permudal telah membunuh dua puteranya, Tun Berahim dan Tun Zainal, serta berahikan puterinya, Tuan Takiah Dara, menyebabkan kerajaannya dijajah oleh Majapahit. Demikian juga kisah Sultan Mahmud Mangkat Dijulang, yang kezalimannya telah menamatkan Kerajaan Johor-Riau keturunan Sultan Melaka. Sultan Amangkurat I dari Mataram yang sebutkan membunuh lebih 5,000 orang ulamak pula akhirnya dijatuhkan oleh Trunajaya, sebelum Mataram ditakluk oleh Belanda. Demikian itulah, bagaimana hukum karma menimpakan kerajaan-kerajaan yang zalim di Alam Melayu.

Berdasarkan secebis kisah sebagai ibrah, orang Melayu yang mewarisi bumi bertuah ini mesti berfikiran tajam dalam menentukan kepemimpinan untuk masa depan negara. Mengekalkan kepemimpinan yang zalim dan penuh dengan penyelewengan akan mengundang kehancuran bangsa ini. Menaikkan sebuah regim yang tidak taat kepada Allah dan anti Islam juga akan mengundang kecelakaan. Yang terbukti dalam sejarah kita, raja dan pemerintah yang adil dan berpegang dengan wahyu Tuhan telah berjaya mencipta kegemilangan. Memilih Islam sebagai penyelesaian adalah langkah terbaik dalam membina semula tamadun Malaysia yang sejahtera. Aslim taslam, pilih Islam sejahtera kehidupan!

*MOHD FADLI GHANI*
Head House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
3 Syaaban 1439 / 19 April 2018