oleh: Faiz Abdullah
SEREMBAN: Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) PAS Negeri Sembilan menawarkan khidmat kenderaan percuma kepada pesakit yang terdiri dari golongan miskin dan asnaf yang tidak mempunyai kenderaan sendiri untuk ke hospital untuk menerima rawatan.
Pengerusi LKK PAS Negeri Sembilan, Rozmal Malakan berkata, pihaknya menyediakan perkhidmatan kenderaan (kereta) mengambil pesakit dari kediaman mereka ke hospital untuk menerima rawatan atau mengambil pesakit dari hospital dan menghantar ke kediaman mereka.
“Kami mendapat banyak maklum balas dari orang ramai apabila terdapat golongan miskin dan asnaf menghadapi kesukaran untuk ke hospital untuk tujuan mendapatkan rawatan termasuk rawatan susulan.Ada antara mereka tidak ada kenderaan langsung dan kalau ada pun cuma motorsikal sahaja.
“Pesakit ini tidak boleh gunakan perkhidmatan bas kerana pesakit ini mempunyai penyakit kronik yang memyebabkan kesukaran untuk bergerak.Sebaliknya memerlukan bantuan orang lain untuk memapah atau bantuan kerusi roda.
“Ada satu kes yang baru kami bantu ialah membabitkan seorang pesakit yang patah kaki.Kami mengambil beliau dari Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia di Cheras, Kuala Lumpur dan menghantar beliau balik ke rumah beliau di Taman Dusun Nyior, Seremban,” kata Rozmal.
Justeru, Rozmal berharap sumbangan daripada orang ramai untuk menampung kos menyediakan perkhidmatan ini.Sebarang pertanyaan dan sumbangan, boleh menghubungi Rozmal di talian 012-2267406.
—————————————————–
HUKM – PAS Negeri Sembilan membantu pesakit asnaf Halpira Mohd Yusof yang patah kaki dari HUKM, Kuala Lumpur balik ke kediaman beliau di Taman Dusun Nyior, Seremban.