Terima kasih Sinar Harian kerana sanggup membetulkan berita
PAS mengucapkan terima kasih kepada Sinar Harian kerana sanggup memohon maaf dan membetulkan laporannya yang salah terhadap kenyataan Presiden PAS di dalam isu 1MDB yang dibuat ketika Program Dialog Anak Muda Gagasan Sejahtera.
http://www.sinarharian.com.my/politik/pembetulan-berita-presiden-pas-1.814466
Kepada mereka yang menfitnah Presiden PAS di atas pemberitaan yang silap oleh Sinar Harian diharap dapat juga berlapang dada seperti yang dilakukan Sinar Harian dan mengaku silap.
PAS tetap berpegang teguh kepada prinsip seseorang adalah tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah tanpa mengira isu dan lawan, samada skandal 1MDB yang nama Perdana Menteri sering terpalit, skandal Ijok yang nama Menteri Besar Selangor terpalit mahupun skandal pembelian banglo dan terowong bawah laut Pulau Pinang yang nama Ketua Menteri Pulau Pinang terpalit.
Jika diberi kuasa, PAS akan mengambil sikap yang sama terhadap skandal-skandal lama sebagaimana skandal-skandal baru dengan melakukan penyiasatan secara teliti dan membawa mereka yang bersalah ke muka pengadilan.
Jangan cepat menghukum di zaman yang penuh fitnah ini. Budaya menghukum hari ini, bila tuduh sahaja terus dikatakan salah ini perlu dibendung. Sesiapa yang menuduh perlu membawa bukti.
Berhati-hatilah pada mereka yang suka menuduh lalu mencabar orang yang dituduh mereka untuk menyaman bagi membersihkan tuduhan terhadapnya terutamanya menjelang pilihanraya untuk meraih undi.
Ini cumalah taktik yang songsang untuk menipu pengundi kerana sudah ada pelbagai contoh di depan mata di mana mereka yang menuduh ini akan memohon maaf di mahkamah selepas itu setelah tujuan fitnah telah tercapai.
Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
26 Mac 2018