SURAH AL-KAHFI: ANTARA RAHMAT ALLAH; MENANGGUHKAN AZAB BUAT UMAT NABI MUHAMMAD: 58-59
*?Firman Allah SWT serta terjemahannya:*
وَرَبُّكَ الْغَفُورُ ذُو الرَّحْمَةِ لَوْ يُؤَاخِذُهُمْ بِمَا كَسَبُوا لَعَجَّلَ لَهُمُ الْعَذَابَ بَلْ لَهُمْ مَوْعِدٌ لَنْ يَجِدُوا مِنْ دُونِهِ مَوْئِلا (٥٨)
_Dan Tuhanmu Maha Pengampun, lagi memiliki rahmat (kasih sayang). Jika Dia hendak menyiksa mereka kerana perbuatan mereka, tentu Dia akan menyegerakan siksa bagi mereka. Tetapi bagi mereka ada waktu tertentu (untuk mendapat seksa) yang mereka tidak akan menemui tempat berlindung darinya._
وَتِلْكَ الْقُرَى أَهْلَكْنَاهُمْ لَمَّا ظَلَمُوا وَجَعَلْنَا لِمَهْلِكِهِمْ مَوْعِدًا (٥٩)
_Dan (penduduk) negeri itu telah Kami binasakan ketika mereka berbuat zalim, dan telah Kami tetapkan waktu tertentu bagi kebinasaan mereka._
*? Tafsir ringkas:*
1. Allah SWT memberitahu di dalam ayat 58 tentang luasnya KEAMPUNAN serta RAHMAT-Nya, dan bahawa Dia Maha mengampuni dosa-dosa hambaNya. Allah akan menerima taubat orang yang bertaubat, lalu melimpahkan rahmat dan ihsan-Nya.
2. Allah SWT juga menyebutkan bahawa Diri-Nya Maha Penyantun, Maha Menutupi kesalahan hamba-hamba-Nya, dan Maha Mengampuni dosa-dosa mereka. Tidak segera memberi azab, bahkan menangguhkannya akan tetapi bukan bererti membiarkan, kerana dosa-dosa itu tetap ada pengaruhnya sekalipun telah berlalu masa yang panjang.
3. Meskipun begitu, Dia mengajak hamba-hamba-Nya agar bertaubat dan kembali kepada-Nya. Jika mereka bertaubat dan kembali, maka Dia akan mengampuni dan merahmati mereka serta menyingkirkan siksaan dari mereka.
4. Tetapi apabila mereka tetap terus di atas kezaliman dan sikap membangkang, maka ketika waktu yang dijanjikan datang, Allah akan menimpakan seksa-Nya kelak pada hari yang tiadanya tempat berlindung untuk mereka bernaung dan menyelamatkan diri.
5. Ayat 59 membenarkan lagi janji Allah untuk membinasakan golongan yang melakukan kezaliman seperti kaum ‘Ad dan kaum Tsamud yang telah dibinasakan ketika mereka berbuat zalim dengan mendustakan rasul-rasul yang diutus kepada mereka. Pada waktu yang telah ditetapkan saat kehancuran mereka pastinya tidak akan tertunda walaupun sedikit.
*? Pengajaran:*
1) Rahmat ALLAH meliputi orang-orang beriman yang bersungguh-sungguh dalam ikhtiar, bersabar dan teguh pendirian dalam kehidupan. Tidak ada alasan kaum mukminin untuk berdiam diri menunggu turunnya rahmat tanpa usaha memperbaiki diri dan keadaan.
2) Segeralah bertaubat terhadap dosa-dosa serta kezaliman yang telah dilakukan kerana pintu taubat dan keampuan serta rahmat Allah sentiasa terbentang luas terhadap hambaNya. Dan beruntunglah mereka yang memanfaatkan kesempatan taubat yang diberikan Allah terhadap mereka sebelum tibanya waktu penyesalan di hari akhirat nanti yang sudah tiada gunanya.
3) Rahmat ALLAH bagi orang-orang yang durhaka merupakan penundaan diturunkannya azab, disebabkan ALLAH Maha Pengampun dan memberikan kesempatan mereka untuk bertaubat memohon ampun kepada ALLAH.
4) Namun berwaspadalah terhadap penangguhan azab atau ISTIDRAJ yang diberikan Allah terhadap hambaNya yang melakukan kezaliman adalah untuk menguji manusia. Sesungguhnya Allah Maha Melihat dan Maha Mengetahui akan keadaan hamba-hamba-Nya. Tidak ada sesuatu pun yang tersembunyi dari Allah. Maka, janganlah seseorang yang berbuat dosa tetapi belum mendapat azab atas perbuatannya menyangka bahawa Allah tidak tahu atau tidak murka dengan perbuatannya.
5) ISTIDRAJ adalah kesenangan dan nikmat yang Allah berikan kepada orang yang jauh dari-Nya dan yang sebenarnya itu menjadi azab baginya apakah dia bertaubat atau semakin jauh. Oleh itu sentiasalah berhati-hati dengan kesenangan dan kenikmatan yang diperolehi dengan menambahkan rasa keimanan, kehambaan dan kesyukuran terhadap Allah SWT serta sentiasa memohon keampunan terhadapNya.
6) Jauhkan sifat angkuh dan sombong terhadap kenikmatan yang diberikan oleh Allah kerana takut akan memakan diri sendiri kelak.
7) Ambillah iktibar dan pengajaran daripada kisah-kisah azab yang terjadi kepada umat terdahulu, seperti kisah kaum ‘Ad dan Tsamud yang dibinasakan oleh Allah kerana kedurhakaan dan kezaliman yang mereka lakukan.
*?Rujukan:*
Tafsir Ibn Kathir, Jilid 5
Tafsir Fi Zilal, Tafsir Jalalayn.
Disusun oleh:
*Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak*
_29 Disember 2017_ / _10 Rabiul Akhir 1439_