Home Berita Dewan Ulamak PAS Pusat

“Isu Baitul Maqdis Sudah Sampai Ke Peringkat Bahaya” – Dr.Hammam Said

4637
SHARE

“Isu Baitul Maqdis Sudah Sampai Ke Peringkat Bahaya” – Dr.Hammam Said

12 Dis 2017 – Lajnah Hubungan Luar dan Antarabangsa, Dewan Ulamak PAS Pusat menerima kunjungan hormat Al-Syeikh Dr.Hammam Said, mantan Muraqib al-Am, Ikhwan Muslimin Jordan dan Presiden Pertubuhan Ulama Palestin, Al-Syeikh Dr.Nawwaf Takruri diiringi Dr.Ahed Abu al-Atta, wakil pertubuhan tersebut di Malaysia.

Rombongan tersebut disambut oleh Bendahari Dewan Ulamak PAS Pusat, Y.B Dato Dr.Mohd Khairuddin Aman Razali, Pengerusi Lajnah IT, Ustaz Hj. Nazmi bin Nik Din, Setiausaha Lajnah Penerangan, Ustaz Muhammad Najhan Abdul Halim dan AJK Lajnah Hubungan Luar dan Antarabangsa, Ustaz Imran bin Selamat di Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut.

Dr.Hammam menjelaskan dalam ucapannya, sejak sekian lama beliau mewakili al-Ikhwan al-Muslimun Jordan telah menjalinkan hubungan dengan Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan barisan kepimpinan Parti Islam Se-Malaysia. Beliau pernah menjadi tetamu kehormat pada Muktamar PAS ke-54 di Ipoh, Perak pada tahun 2008.

Antara tujuan kunjungannya ke Malaysia adalah kerana isu yang sedang hangat ketika ini, iaitu isu Baitul Maqdis yang telah sampai ke peringkat paling bahaya sepanjang kronologinya. Masjid al-Aqsa kini sedang diancam gerak kerja penjajah Zionis untuk merobohkannya dan rancangan pembinaan Haikal Sulaiman (rumah ibadat Yahudi) di atas tapak masjid suci tersebut.

Pihak Zionis buat permulaan ini merancang agar Masjid al-Aqsa dibahagikan kepada dua bahagian untuk kegunaan orang-orang Islam dan Yahudi sebagaimana diperlakukan di Masjid Ibrahim al-Khalil di bandar Hebron, selatan Tebing Barat.

Menurutnya lagi, Masjid Ibrahim itu kini tidak dibenarkan lagi laungan azan. Hal yang sama dikhuatiri menimpa Masjid al-Aqsa sekiranya kota al-Quds (Jerusalem) dikuasai sepenuhnya oleh penjajah Israel dengan pengiktirafan Presiden AS, Donald Trump pada minggu lalu kota tersebut sebagai ibu negara Israel.

Sehingga ke hari ini, penduduk al-Quds masih mempertahankan kedaulatan ibu negara Palestin itu dan kesucian Baitul Maqdis walau pun rumah-rumah mereka di timur kota suci itu telah dirobohkan dan tanah mereka dirampas. Mereka tidak berganjak dan masih berteduh di khemah-khemah untuk menentang proses pengusiran penduduk Palestin di sana.

Banyak lagi isu-isu yang belum selesai seperti pengepungan wilayah Gaza, peranan Presiden PA, Mahmoud Abbas dan pemerintahannya yang dipergunakan oleh musuh untuk menekan kehidupan penduduk Palestin dengan pelbagai masalah terutamanya krisis bekalan elektrik termasuk di hospital dan kekurangan keperluan harian yang lain.

Ditambahkan lagi dengan layanan buruk negara-negara Arab di sekitarnya dengan tuduhan pengganas kepada Hamas dan pemerintahan mereka di Gaza.

Beliau mengharapkan dunia Islam bangkit dan bergerak menongkah arus ini dan inilah antara sebab kedatangannya ke Malaysia untuk mendapatkan sokongan gerakan Islam terutamanya para ulama di Malaysia, Indonesia dan negara-negara di rantau ini agar berbuat sesuatu menangani isu umat Islam yang utama ini.

“PAS tidak pernah terkebelakang dalam isu Palestin ini dalam menyatakan pendirian yang jelas pada setiap masa dan keadaan,”ujarnya.

Menurutnya, adalah menjadi satu keperluan yang mendesak ketika ini untuk menyatukan para ulama umat Islam seluruh dunia agar berganding bahu memperjuangkan isu Palestin ini dengan menyertai jaringan Pertubuhan Ulama Palestin di luar negara.

Dalam kesempatan itu, Dr.Nawwaf Takruri juga memberikan pandangan bahawa pengiktirafan kota Jerusalem sebagai ibu negara Israel oleh Presiden AS itu mengandungi hikmah yang besar dalam menyatukan umat Islam kembali mengambil berat isu Palestin dengan turun berdemonstrasi di seluruh pelusuk dunia. Sebelum ini mungkin terdapat isu-isu tempatan di negara masing-masing yang menyibukkan mereka daripada isu utama ini.

Selepas pertemuan itu, kedua-dua tokoh tersebut dijadualkan berangkat ke Terengganu untuk memenuhi undangan ceramah perdana dan menjadi tetamu Presiden PAS, Dato Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang juga selaku Naib Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia.