Home Berita PAS Kedah

Bajesto Kedah 2018, cuba meraih undi

2163
SHARE

1. Saya namakan BAJESTO kerana kandungannya jelas serupa bajet + manifesto.  MB Kedah membaca Buku Bajet 2018 setebal 32 mukasurat yang mengandungi pelbagai janji untuk rakyat Kedah. Walaupun ianya bajet Kedah, tetapi terdapat 18x di mukasurat yang berbeza menyebut janji janji yang akan mengguna pakai peruntukan dari Kerajaan Pusat yang berjumlah sekitar RM3.6billion. Angka ini walaupun 3x lebih tinggi dari Bajet Kedah tetapi ia hanyalah satu jumlah kecil iaitu 1.3% daripada keseluruhan Bajet Kerajaan Persekutuan.


2. Secara ringkasnya Bajet Kedah 2018 berhasrat untuk berbelanja sejumlah RM1,387,413,026 (Belanja Mengurus RM 855,218,028 + Pembangunan RM257,536,771 + Bekalan Air RM274,658,217) walaupun Anggaran Hasil hanyalah RM779,500,000.  Ini bermakna perbelanjaan adalah 1.8x lebih tinggi berbanding pendapatan. Inilah yang dikatakan bajet defisit bila perbelanjaan melebihi pendapatan.  Ini juga bermakna Kerajaan Kedah terpaksa meminjam untuk belanja pembangunan dan belanja bekalan air, tambahan pula wang tunai yang kerajaan ada hanyalah RM29.4 juta sahaja (seperti dinyatakan dalam Buku Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman 2016 dalam jadual 2, mukasurat 12). 


3. Belanja bekalan air berjumlah RM274,658,217 adalah merupakan pinjaman dari Kerajaan Persekutuan. Kerajaan Negeri Kedah sepatutnya berusaha mendapatkan peruntukan ini dalam bentuk geran (peruntukan yang tidak perlu di bayar balik)   bukannya pinjaman kerana jelas projek ini melibatkan projek menaiktaraf  5 Loji Rawatan Air di kawasan luar bandar. Sejak Tun Ghafar menjadi Timbalan Perdana Menteri telah diputuskan Bekalan Air Luar Bandar (BALB) adalah dalam bentuk geran. 


4. Berapa pendapatan sebenar Kerajaan Negeri Kedah? Apakah sumbernya nya? Dari mana ia datang dan berapa banyak?  Secara puratanya anggaran hasil bagi negeri Kedah dari 2013 sehingga 2017 adalah RM714juta dan pendapatan sebenar yang dapat dikutip adalah sekitar RM500juta setahun atau *70% dari anggaran. 


Pada tahun 2018 dianggarkan hasil negeri Kedah adalah RM779.5juta yang datang dari hasil cukai, hasil bukan cukai dan terimaan bukan hasil. Setiap sumber pendapatan mempunyai kod pendapatan tersendiri dan terdapat sebanyak 149 kod sumber pendapatan bagi kerajaan negeri Kedah.  Berdasarkan kod akaun pendapatan (1SPEKS) ini didapati hasil utama datang dari urusan yang berkaitan dengan tanah RM 401.4juta (51.5%), diikuti dengan Pemberian dan Caruman  RM 142.6juta  (18.3%), Hasil hutan RM 47.1juta (6.0%), Bayaran balik dari agensi  RM 43.5juta (5.6%) dan Denda & rampasan RM 19.6juta (2.5%).  Tidak ada sebarang pendapatan dari UMNO atau BN. Ini bermakna sebarang bantuan yang diberikan oleh pihak kerajaan adalah hari hasil kutipan dari rakyat yang diagihkan kepada rakyat dan  bukannya dari UMNO dan BN (UBN). Ramai rakyat tersalah faham kerana merasakan apa yang disampaikan oleh kerajaan adalah dari UBN sedangkan hakikatnya ia bukan dari UBN.


5. Luas negeri Kedah adalah 942,600 hektar atau 9,426 Km persegi. Lebih dari 1/3 dari negeri Kedah adalah kawasan hutan dan didalamnya terdapat kawasan strategik utama seluas 1,156 km persegi yang melibatkan Empangan Pedu dan dan Ulu Muda.  Keputusan Jemaah Menteri pada 7 Mei 2003 memutuskan kawasan ini diwartakan sebagai Kawasan Perlindungan Ulu Muda dengan tiada sebarang aktiviti pembalakan boleh dijalankan.  Pewartaan ini diimbangi dengan satu anggaran bayaran pampasan munasabah oleh kerajaan Pusat kepada Kerajaan Negeri dengan anggaran bayaran  tahunan berjumlah RM39,295,360 setahun selama 30 tahun dengan bayaran pampasan keseluruhan bernilai RM1.178billion. (seperti jawapan kepada soalan mulut no. 11 Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5, DUN ke-13. Soalan dari ADUN Alor Mengkudu YB Ustaz Ahmad bin Yahaya)  Namun tidak ada sebarang rekod untuk membuktikan kerajaan Pusat ada membuat bayaran pampasan tersebut. Oleh yang demikian kerajaan negeri wajib menuntut bayaran pampasan ini kerana ia adalah merupakan hak rakyat negeri Kedah.


Muhamad Sobri Osman

Bendahari PAS Kedah

22.11.2017