Home Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Malaysia

Tindakan Biadap Nanyang Siang Pau: Dewan Muslimat PAS Turut Membidas

587
SHARE

Tindakan Biadap Nanyang Siang Pau: Dewan Muslimat PAS Turut Membidas

Isu kebiadapan sebuah akhbar Cina, Nangyang Siang Pau yang memaparkan karikatur monyet menghina Presiden PAS, dan Speaker Dewan Rakyat mendapat kecaman rakyat.Kami dari Dewan Muslimat PAS Malaysia turut dukacita terhadap tindakan melampau itu dan menyifatkannya sebagai perbuatan yang keterlaluan.

Sesungguhnya Islam sangat menghormati agama lain dan mengamalkan sikap toleransi bagi sesuatu isu yang tidak disepakati. Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:-
“Dan tidaklah Kami mengutus kamu (Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat kepada semesta alam.” [Al-Anbiya’: 107]

Karikatur yang bertajuk “Akta Monyet” dalam terbitan akhbar Nanyang Siang Pau yang bertarikh 8 April 2017 ternyata adalah satu tindakan penghinaan sesama manusia.
Karikatur yang menayangkan watak seekor monyet memakai songkok dan seekor monyet lagi memakai serban putih beserta makanan yang dihidangkan itu seperti RUU355 yang baru-baru ini dibentangkan dalam Parlimen. Ia nada gurau yang biadap dan tidak seharusnya dilukis oleh kartunis tersebut.

Walaupun permohonan maaf sudah dibuat, namun kami berharap agar semua pihak media sama ada bercetak, elektronik dan segala medium sosial terkini dapat memaparkan berita yang tepat, sahih dan tidak menimbulkan kontrovesi mana-mana pihak dengan niat untuk melariskan dan mengemparkan suasana melalui agenda yang tidak beretika ini.

Sesunguhnya dalam menyebarkan berita seharusnya setiap wartawan perlu membuat liputan secara beretika serta menggunapakai kaedah yang matang dan menunjukkan profesion wartawan sebagai suatu kerjaya yang profesional. Besar harapan kami semoga isu sedemikian tidak berulang lagi. Semoga para wartawan terus mengamalkan budaya etika yang berakhlak mulia, menggunakan sumber yang tepat lagi sahih dan bernas untuk tatapan kepada pihak umum. Marilah kita mengamalkan budaya politik matang, demi kesejahteraan bersama.

USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua,
Dewan Muslimat PAS Malaysia
14 Rejab 1438
12 April 2017