ULU TIRAM – Hampir 1000 hadirin membanjiri Majlis Graduasi PASTI Al-Irfan Tebrau yang telah dilaksanakan dengan sempurna pada 11 November yang lalu di Dewan Savannah Hill Resort, Ulu Tiram. Bermula jam 8 pagi, ibu bapa telah hadir mendaftarkan anak-anak mereka sebagai para graduan di kaunter pendaftaran untuk menerima anugerah dan sijil graduasi. Justeru, majlis ini adalah bertujuan bagi meraikan murid PASTI Al-Irfan Tebrau yang telah berjaya menamatkan pengajian mereka.
Majlis Graduasi PASTI Al-Irfan kali ke 27 ini telah dirasmikan oleh En. Azman Bin Atmin, Penyelia Pusat Aduan Rakyat (PAR) Dun Tiram. Selain meraikan peserta graduasi, beliau turut berkongsi sedikit berkaitan isu semasa. “Ini bukan politik, saya sekadar ingin berkongsi sama keperitan yang sedang dilalui dengan amalan cukai GST ini. Setelah memahami beberapa point Dokumen Hijau berkenaan sistem cukai, nyatalah ia adalah penyelesaian yang terbaik bagi mengatasi masalah GST yang membebankan ini. Saya menyeru ibu bapa untuk menyokong cadangan penyelesaian Dokumen Hijau ini supaya boleh dibentangkan kepada rakyat Malaysia”, ujar beliau semasa sesi ucapan perasmian.
Turut hadir memeriahkan majlis beberapa jemputan kehormat, antaranya Pn. Sutinah Binti Sariman, Pengerusi Majlis Guru Pasti (MGP) Negeri Johor, En. Sazali Bin Siron, wakil ADUN Puteri Wangsa, Sdr. Abdul Rahman Bin Musa, Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Tebrau, serta Pn. Fatima Binti HP Dulkarnain mewakili Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Tebrau.
Penglibatan adik-adik PASTI terserlah apabila salah seorang murid dari PASTI Al-Irfan 4, Jalan Nenas mengalunkan bacaan Al-Quran sebagai pembukaan majlis, disusuli dengan persembahan mantap Nasyid, Dikir Barat dan Kalam Jamaie masing-masing dari murid PASTI Al-Irfan 12, Kg Maju Jaya, PASTI Al-Irfan 7, Taman Puteri Wangsa dan PASTI Al-Irfan 3, Kg Pasir Putih. Majlis penyampaian sijil diselangi dengan cabutan bertuah pelbagai hadiah menarik buat ibu bapa dan hadirin yang hadir.
Sesi ‘photobooth’ dan jualan Koperasi PASTI Al-Irfan Tebrau serta para peniaga telah menambahkan lagi keceriaan dan kemeriahan Majlis Graduasi ini. Semoga para graduan sentiasa mengamalkan segala ilmu yang telah diperoleh sepanjang pembelajaran di PASTI dan sentiasa bersemangat menuntut ilmu di mana jua berada.