Home Berita PAS Perak

87 sukarelawan amal sertai program derma darah sepanjang tahun 2022

154
SHARE

Jaudin M Amin – 30 Disember 2022

BUKIT GANTANG : Jabatan Amal Malaysia (JAM) Bukit Gantang telah mencipta kejayaan tersendiri apabila seramai 87 peserta telah menyertai program Derma Darah sepanjang tahun 2022.

Komandan Amal Bukit Gantang, Saudara Mohamad Ridzuan Basheer Ahmad berkata, program bulanan ini dianjurkan dengan tujuan utama membantu pihak Tabung Darah Hospital Taiping agar mempunyai bekalan darah yang konsisten dan mencukupi sepanjang tahun.

“Sebagaimana yang kita sedia maklum, seringkali berlaku kekurangan bekalan darah khususnya di bulan Ramadan dan musim perayaan. Dengan penganjuran berterusan program seumpama ini diharap dapat mengurangkan tekanan pihak Tabung Darah di waktu-waktu kritikal.

Tambah Ridzuan, anggota-anggota Jabatan Amal Bukit Gantang dididik untuk menyumbangkan tenaga, masa dan kemahiran dalam pelbagai aktiviti kesukarelawan dan kemasyarakatan. Oleh itu, kami melihat sumbangan derma darah merupakan satu keperluan penting untuk rakyat dan kami menjadikan ia sebagai satu agenda dalam aktiviti Jabatan Amal.

“Saya mewakili Jabatan Amal dan PAS Kawasan Bukit Gantang mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua penderma yang istiqomah menyertai program ini. Tidak lupa kepada pihak Tabung Darah Hospital Taiping di atas kerjasama dan layanan baik sepanjang penyertaan kami.

“Anugerah Penghargaan Negeri Perak sempena Hari Penderma Darah 2022 Peringkat Kebangsaan yang dianugerahkan pada 14 Jun lalu adalah lambang kejayaan buat kami dan menaikkan semangat kami untuk terus mencurahkan bakti melalui program ini pada tahun 2023 pula”, katanya.