Home Melaka

Rencana | Kenaikan harga akibat kos pengeluaran : teori keanjalan bukan penyelesaian

457
SHARE

Oleh IBNU JANIE

BARU-baru ini semasa sidang media Laporan Indeks Harga Pengguna (IHP) November, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli ada mengeluarkan kenyataan ‘mengejutkan’. Kata beliau, cara menangani kenaikan harga barangan ialah dengan pengguna mengurangkan pembelian sesuatu barangan dengan beliau mengambil contoh ayam.

Lebih kurang sama dengan menteri-menteri zaman BN berkuasa dahulu. Cuma bezanya Rafizi nampak cerdik sedikit kerana menyelitkan teori ekonomi berkaitan keanjalan harga dan banyak menggunakan Bahasa Inggeris semasa membuat kenyataan. Jadi nampaklah gaya terpelajar dan bijak.

Hakikatnya isi dalamnya sama, yang membezakannya hanya ‘pembungkusnya’ sahaja yang nampak lebih cantik. Apa masalah sebenar dengan pandangan Rafizi itu? Adakah pandangan itu silap?

Teori bahawa pengguna mempunyai kuasa untuk menekan pengeluar bagi menurunkan harga dengan mengurangkan permintaan seperti saranan menteri-menteri zaman BN dan Rafizi pada asasnya memanglah betul.

Dan penulis dalam tulisan-tulisan penulis tentang perkara ini sebelum ini pergi lebih jauh dalam menggunakan istilah ‘boikot’ dalam usaha menekan pengeluar agar mengurangkan harga.


VIdeo ucapan Rafizi


 

Tetapi ada dua isu penting dalam menggunakan keanjalan harga untuk menekan pengeluar menurunkan harga.

Yang pertama, sebelum ini Rafizi dan puak-puaknya juga yang memperlekehkan teori ini apabila diucapkan oleh bekas-bekas menteri BN dahulu dan sekarang mereka pula yang bercakap perkara yang sama.

Ini menjadikan rakyat keliru. Ia akan menyukarkan usaha Rafizi menjalankan kempen ‘kurangkan makan ayam’ contohnya. Sekarang ini pun dia teruk disindir di media-media sosial. Semuanya seperti senjata makan tuan.

Isu yang kedua, dalam pemerhatian penulis, rakyat Malaysia sebenarnya tidak pernah berjaya dalam menggunakan boikot sebagai usaha menekan pengeluar untuk menurunkan harga sebelum ini.

Walau pun mereka tahu, namun mereka tidak mampu lakukan. Realitinya ramai rakyat Malaysia apabila harga ayam naik, mereka tetap makan ayam walau pun dalam linangan air mata.

Kemudian, boikot juga biasanya gagal kerana golongan yang mampu tidak menyertai boikot. Mereka tetap membeli. Jika boikot hanya disertai oleh golongan yang kurang mampu jumlahnya tidak cukup untuk memberi tekanan kepada pengeluar.

 

Apabila menyentuh di ‘sebelah penawaran’ pula, Rafizi lebih banyak menekankan tentang bagaimana memastikan bekalan mencukupi bagi mengelakan berlakunya kekurangan yang akhirnya akan menjerumus kepada kenaikan harga.

Memang dalam teorinya bahawa situasi ‘lebihan permintaan’ iaitu jumlah yang ingin dibeli oleh pengguna (permintaan) lebih tinggi daripada jumlah yang mampu dibekalkan oleh pengeluar (penawaran), akan menyebabkan harga naik. Sementara ‘lebihan penawaran’ iaitu penawaran lebih tinggi daripada permintaan pula akan menyebabkan harga jatuh.

Lalu menurut Rafizi, kerajaan dikatakan akan memastikan bekalan cukup bagi membendung kenaikan harga. Teori ini juga digunakan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam menangani isu kekurangan telur. Adakah ia berjaya?

Sebenarnya banyak isu kenaikan harga yang berlaku adalah disebabkan peningkatan dalam kos pengeluaran terutamanya bahan makanan ternakan akibat kadar tukaran asing Ringgit dan perang Rusia-Ukrane. Ini yang membelenggu pengeluar ayam dan telur. Kerana itu mereka menjual di Singapura kerana negara itu membeli dengan harga mahal.

Dalam isu kenaikan harga yang disebabkan oleh kenaikan kos pemgeluaran, ia harus ditangani dengan mencari jalan mengurangkan kos pengeluaran berkaitan makanan ayam. Ia tidak akan dapat diatasi hanya dengan boikot.

Rencana ini juga disiarkan di ruangan Komen Editor, Harakah cetak Edisi bertarikh 30 Disember 2022

 

Sebagai contoh terbaru, ketika berlangsung perayaan Krismas baru-baru ini kerajaan menetapkan harga tomato ialah sebanyak RM5 sekilo di saat harga pasaran sekitar RM10 sekilo.

Dalam satu laporan media, peruncit merungut kerana pembekal tetap menjual pada harga kos RM8 sedangkan mereka perlu menjual pada harga RM5. Akhirnya mereka membuat keputusan untuk tidak menjual tomato.

Kerajaan memang ada kuasa untuk memaksa, namun peniaga tidak akan boleh bertahan dengan menjual di bawah kos. Akhirnya mereka akan mengambil keputusan untuk berhenti berniaga produk tersebut jika terus dipaksa menurunkan harga.

Menggunakan teori keanjalan harga dan menstabilkan bekalan untuk mendesak pengeluar menurunkan harga hanya berkesan jika kenaikan harga itu disebabkan pengeluar sengaja menaikkan harga kerana mengambil kesempatan menaikkan harga apabila berlaku lebihan permintaan. Jika kenaikan harga itu disebabkan peningkatan kos pengeluaran maka ia tidak akan berkesan.

Penulis adalah Wartawan Harakah, Ketua Editor Pusat bagi Portal Berita PAS dan Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Melaka.

 

Para penyumbang yang budiman. Keseluruhan projek ini iaitu membina sebuah dewan terbuka beserta dua tingkat pejabat; sebuah bangunan tandas dan membaik pulih bangunan asal sedia ada semuanya bernilai RM900 ribu.

Buat masa ini sedang disiapkan ialah dewan terbuka beserta dua tingkat pejabat yang bernilai RM450 ribu daripada jumlah keseluruhan RM900 ribu.

Pada masa ini pihak kami sangat memerlukan sebanyak RM180 RIBU bagi meneruskan pembinaan dewan terbuka ini untuk MEMBELI STRUKTUR BESI SEBERAPA CEPAT YANG BOLEH untuk menyiapkan dewan terbuka ini. Kami memohon dan merayu sumbangan tuan-tuan dan puan-puan untuk tujuan ini.

Para dermawan yang sudi untuk menghulurkan sumbangan boleh menyumbang kepada akaun Bank Rakyat – PAS Kawasan Masjid Tanah di nombor akaun 1101 6481 22.

Sebarang informasi, para penderma boleh berhubung dengan Ustaz Imran sendiri di talian 019-680 6707 atau Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Kompleks, Jamarudin Ahmad di talian 012-697 2328 atau Bendahari Jawatankuasa Pembinaan, Ustaz Azmi Sambul di talian 013-378 4729.

JAWATANKUASA PEMBINAAN KOMPLEKS PAS KAWASAN MASJID TANAH