Home Artikel PAS Pahang

800 pelajar di Pahang terima manfaat Program BTS Yayasan PETRONAS

227
SHARE

 

KUANTAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Andansura Rabu diberi penghormatan menyempurnakan penyampaian sumbangan dalam Program Back to School (BTS) Yayasan PETRONAS 2019 yang berlangsung di Dewan Orang Ramai Kampung Balok Baru di sini semalam.

 

Dalam program berkenaan, seramai 250 pelajar dari DUN Beserah dipilih daripada 800 pelajar dari 20 sekolah rendah di seluruh Pahang yang mendapat bantuan pakaian seragam dan peralatan persekolahan daripada PETRONAS itu.

 

Sumbangan itu membabitkan tiga kawasan DUN iaitu Beserah, Kuantan; Lanchang, Temerloh dan Guai, Bera.

 

Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, Datuk Wan Mohd Hasnan Abdullah berkata, program BTS 2019 merupakan yang terbesar sejak 17 tahun lalu membabitkan 21,000 murid di 14 negeri dan Wilayah Persekutuan tahun ini.

 

“Sumbangan ini merupakan usaha berterusan syarikat yang bertujuan meringankan bebanan golongan B40 sekali gus membantu mengatasi kadar keciciran pelajar seluruh negara.

 

“Yayasan Petronas ialah cabang tanggungjawab Sosial Korporat Petronas yang mempunyai misi untuk menyumbang kesejahteraan rakyat; berteraskan tiga aspek utama; pendidikan, kesejahteraan komuniti dan alam sekitar,” katanya.

 

Majlis perasmian disempurnakan dan wakil Pengarah Pendidikan Pahang, Hamdan Mohd Zin.

 

Sementara itu Andansura berkata, DUN Beserah mempunyai 18 kampung dengan 12 sekolah rendah dan lima sekolah menengah.

 

“Setiap tahun DUN Beserah memberikan bantuan persekolahan kepada 500 murid dan kehadiran Petronas pada tahun ini telah membantu sebahagian penerima DUN kali ini. Terima kasih Petronas kerana memilih DUN Beserah,” katanya.

 

Sementara itu, ibu tunggal, Mariam Harun, 46 berterima kasih di atas sumbangan kelengkapan persekolahan yang diterima anaknya.

 

“Sumbangan ini meringankan beban dari segi pembelian pakaian sekolah dan peralatan persekolahan apabila memasuki sesi persekolahan tahun depan.

 

“Tahun lalu, hanya anak yang sekolah menengah menerima sumbangan dan kali ini saya gembira kerana ada pihak yang sudi menghulurkan sumbangan kepada pelajar sekolah rendah,” katanya yang juga sukarelawan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

 

“Syukur dan lega. Anak saya tiga orang, dua masih sekolah dan saya cuma bergantung pada elaun rela serta pencen Perkeso arwah suami.

 

“Pendapatan tidak tetap lebih kurang RM1400 ke RM1500 sebulan. Saya masih kena bayar rumah sebanyak RM350. Sumbangan barangan (sekolah) ni melegakan saya dan anak,” katanya ketika ditemui.