Home Artikel PAS Sabah

PAS komited sokong tuntutan isu elektrik penduduk

737
SHARE

Oleh : Abdul Rahim Junior
13 November 2019.

BATU SAPI : PAS Sabah komited menyokong usaha jitu yang dilakukan oleh Badan Bertindak Isu Elektrik Kampung Sundang dan Kampung Bongaya Baru dalam menangani kemelut bekalan elektrik yang masih melanda kampung tersebut ketika ini.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Sabah, Sahar Abdul Majid yang hadir dalam sesi penerangan di Kampung Bongaya Baru pada ahad, melahirkan keresahan berikutan isu elektrik yang tiada kesudahan.

“Kerajaan negeri hari ini seharusnya memandang serius akan isu bekalan elektrik yang berlarutan dan berusaha secepat mungkin untuk menyelesaikannya agar penduduk kampung tidak lagi terjejas,” ulasnya.

“Dengan perolehan status perkampungan hari ini, selayaknya kampung terjejas mendapatkan bekalan terus daripada SESB bukannya lagi daripada kontraktor bekalan elektrik swasta yang baharu setelah C3 Power ditamatkan kontraknya,” jelasnya lagi.

Sahar juga menegaskan bahawa PAS akan tetap konsisten menyertai mana-mana perjuangan yang membela nasib rakyat tanpa mengira latar belakang masyarakat, agama dan bangsa.

Sesi penerangan yang menerima sambutan hangat dari penduduk itu merupakan kesinambungan sesi sebelum ini yang telah diadakan di Kampung Sundang pada minggu sebelumnya.

Hadir sama dalam program tersebut ialah Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Sabah, Norsah Bongsu, Pengerusi Badan Bertindak Isu Elektrik Kampung Sundang dan Kampung Bongaya Baru, Shamsul Kelana Samlee dan Pengerusi Gerakan Anak Muda Batu Sapi, Azlani Rayqiezan.