Home Artikel PAS Melaka

80 orang peniaga daftar SSM hingga jam 12 tengahari – Mas Ermieyati

341
SHARE

Oleh IBNU JANIE

MASJID TANAH, 27 Feb : Setakat jam 12.00 tengahari tadi seramai 80 orang usahawan telah didaftarkan oleh kaunter bergerak Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), kata Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin.

Tambah beliau lagi, selain pendaftaran baharu terdapat juga urusan-urusan lain berkaitan syarikat dalam program yang berlangsung di sebuah lokasi berhampiran Stesen Bas Masjid Tanah.

“Seawal jam 8.00 pagi dah ada yang beratur. Kita buka tiga kaunter hari ini bagi memudahkan urusan. Sehinggalah jam 5.00 petang nanti.

“Ada yang dah lima tahun berniaga tapi baru hari ini berkesempatan untuk mendaftarkan perniagaan. Saya harap warga Masjid Tanah tak lepaskan peluang ni.

“Insya-Allah selepas kita akan bawa banyak lagi program-program seperti ini ke Masjid Tanah bagi memudahkan urusan orang-orang Masjid Tanah,” ujar Mas Ermieyati lagi.

Turut bersama pada hari ini Ketua Seksyen Operasi SSM Negeri Melaka, Noraini Mohd Saad, Pengurus Tekun Cawangan Masjid Tanah, Syahril Yusof dan Pegawai SME Corp Negeri Melaka, Zubidah Hasan.

Mas Ermieyati yang juga merupakan Ahli Parlimen Masjid Tanah itu menyatakan perkara ini di dalam satu hantaran Facebook beliau tengah hari tadi.

Untuk rekod program kaunter bergerak SSM ini merupakan inisiatif Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dengan kerjasama Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Masjid Tanah.

Kredit foto : Facebook Mas Ermieyati Samsudin