ROMPIN, 9 Mac 2025 – Seramai 50 penerima telah menerima sumbangan dalam Program Semarak Kasih Ramadan yang berlangsung di Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Darul Ummah, baru-baru ini.
Program ini dianjurkan bagi menyantuni golongan yang memerlukan serta menzahirkan keprihatinan masyarakat terhadap kebajikan mereka, khususnya dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Ahli Parlimen Temerloh, YB Salamiah Mohd Nor, yang menyampaikan ucapan penuh inspirasi mengenai kepentingan bersyukur dan bergantung sepenuhnya kepada Allah SWT dalam kehidupan.
“Sebagai hamba Allah, kita perlu sentiasa mengingat bahawa segala yang kita miliki adalah pinjaman daripada-Nya. Jika Allah menutup sesuatu bagi kita, maka kita harus menerimanya dengan redha. Jika Allah memberikan sesuatu, maka kita perlu mensyukurinya dan berkongsi dengan mereka yang memerlukan. Kita mengharapkan keampunan daripada-Nya dan berdoa agar hidup kita sentiasa dalam keimanan dan kebaikan,” katanya.
Program ini turut dihadiri oleh Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Keprihatinan Sosial (LKKS) Dewan Muslimat PAS Negeri Pahang (DMPNP), Puan Habidah Salleh, NYDP PAS Kawasan Rompin Puan Idayu Hashim, dan beberapa orang wakil dari AJK LKKS DMPM yang bersama-sama memastikan kelancaran perjalanan program.
Penerima sumbangan yang hadir menyatakan rasa syukur dan berterima kasih kepada penganjur atas keprihatinan serta usaha murni ini. Mereka berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi membantu lebih ramai golongan yang memerlukan.