Home Berita PAS Pahang

4 beradik yatim dapat perhatian ADN Chenor

186
SHARE

Oleh: RAMLI AWANG

CHENOR, 4 Ogos :: Kisah empat beradik hilang tempat bergantung kerana kematian ibu yang mendapat perhatian Ahli Parlimen Kuala Terengganu beberapa hari lalu turut mendapat perhatian Ahli Dewan Negeri (AND) Chenor YB Ustaz Mujibur Rahman Ishak.

Setelah mendapat maklum empat beradik itu diusahakan penghantaran ke rumah nenek mereka di perumahan Rancangan Pemulihan Selepas Banjir (RPSB) Chenor 1, Ustaz Mujibur Rahman segera menziarahi mereka.

Mereka sebelum ini menetap di Kuala Terengganu sebelum ibu mereka meninggal dunia akibat kanser tirod dan serangan jantung baru-baru ini.

Kisah empat beradik itu menjadi tular apabila mendapat perhatian Ahli Parlimen Kuala Terengganu, masyarakat setempat dan NGO untuk membantu.

Pusat Khidmat Ahli Parlimen tersebut telah mengusahakan penghantaran mereka ke rumah nenek mereka di Chenor.

Dalam ziarah tersebut Ustaz Mujibur Rahman telah menyerahkan sumbangan keperluan asas, tilam toto dan wang tunai.

Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Maran pula telah menyerahkan borang bantuan untuk dilengkapkan bagi tindakan lanjut.

Ustaz Mujib berkata Pusat Khidmat ADN Chenor akan cuba membantu keluarga tersebut secara berterusan.

Hadir sama dalam ziarah itu ialah Penghulu Mukim Bukit Segumpal, Pegawai JKM Maran dan Ketua Kampung.