Home Berita PAS Kedah

3000 beg, alatan sekolah diagih kepada murid asnaf

103
SHARE

Oleh AMAL NABILA

KUALA MUDA, 2 Jan – Sebanyak 3,000 beg dan peralatan sekolah diedarkan kepada murid dan keluarga asnaf yang kurang berkemampuan dalam Program Bag To School Education Fair 2.0.

Program ini merupakan anjuran Pertubuhan Dana Kita serta kerjasama daripada 40 mahasiswa Universiti Kuala Lumpur – British Malaysian Institute (UNIKL – BMI).

Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor berkata inisiatif bantuan seperti ini sememangnya terpuji lebih-lebih lagi membantu pelajar untuk menuntut ilmu.

Kata beliau, program seperti ini bertepatan dengan slogan negeri Kedah ‘Kedah Tempat Orang Miskin Berteduh, Orang Kaya Berbakti’.

“Program Bag To School ini sebagai salah satu program yang bercirikan kebajikan, amat menepati usaha yang sedang dilakukan oleh Kerajaan.

“Pembabitan NGO seperti Pertubuhan Dana Kita dalam usaha ini adalah seumpama orang kaya ataupun sebagai saluran bagi golongan kaya untuk membantu golongan miskin di negeri kita ini,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Bag To School Education Fair 2.0 yang berlangsung di Pantai Merdeka, semalam.

Maklum beliau, pihak Dana Kita turut memberikan sumbangan ini secara berperingkat ke semua zon di Malaysia. Jumlah keseluruhan sumbangan beg dan alatan sekolah berjumlah 30,000 unit.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia, YB Brigedier Jeneral Dato’ Haji Najmi Haji Ahmad (B), Timbalan Pengarah Pendidikan Pembangunan Murid Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Sabri Osman, Ketua Pengarah Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kedah, Haji Mohd Sobri Osman dan Presiden Pertubuhan Dana Kita, Mohd Fadli Salleh.