Home Berita PAS Kedah

3 ribu sukarelawan berkampung membantu mangsa musibah “Kepala Air”

113
SHARE

OLEH ROZAIDI TAIB

MERBOK, 11 SEPT –Tiga ribu sukarelawan dari seluruh negara  didaftarkan bilik operasi PAS Kedah sepanjang tempoh gerak kerja membantu dan mengedarkan sumbangan, kepada mangsa musibah fenomena “Kepala Air Gunung Jerai” pada bulan ogos yang lalu.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Senator Ustaz Ahmad Yahya  menyatakan demikian semasa Majlis Sumbangan Musibah Banjir Kepala Air Gunung Jerai Fasa-4 yang juga dihadiri oleh Menteri Besar Kedah, Haji Muhammad Sanusi Md Nor di dewan Madrasah Az-Zubaidiyyah, di sini, hari ini.

“Sukarelawan dari seluruh negara datang, diketuai oleh Jabatan Amal, kita senaraikan yang mendaftar di bilik-bilik operasi kita, sukarelawan termasuk dari negeri Kedah lingkungan tiga ribu orang walaupun masih dalam suasana kawalan pergerakan,”

“Sampai kalau kita tengok di jalan raya, kita tengok di mana-mana, sampai banyak orang sebut macam suasana pilihanraya kecil, pasal ramainya manusia,”

“Anak muda dari seluruh negara yang hadir melalui Jabatan Amal berbaju maroon bukan sekadar mencuci rumah bahkan termasuk memanjat gunung menarik paip air menggantikan paip yang rosak demi meringankan beban masyarakat,” katanya.

Menurut Ustaz Ahmad, kehadiran sukarelawan untuk menyantuni serta membantu membersihkan kediaman, menghulurkan pelbagai sumbangan dan bantuan diharap mampu mengubati sedikit sebanyak kedukaan mereka yang ditimpa musibah.

Ujarnya walaupun nilai kerugian yang ditanggung akibat musibah amat besar namun beliau berharap agar mereka terus  bersabar dan redha kerana kebiasaannya akan hadir Rahmat selepas sebarang ujian yang diberi oleh allah SWT.

Majlis tersebut bertujuan menyampaikan sumbangan tunai dan bakul makanan kepada 337 keluarga yang terjejas dalam kejadian banjir lumpur yang turut berlaku di Merbok dalam daerah Kuala Muda.

Antaranya penduduk di Titi Sungai Tupah, Taman Lembah Merbok, Kampung Pasir, Kampung Sungai Batu, kampung Tandop Batu, Kampung Bujang dan kampung Tok Malau.

Turut hadir Yang DiPertua PAS kawasan Merbok, Ustaz Azizan Hamzah, Adun Tanjung Dawai, Ustaz Hanif Ghazali serta beberapa ahli jawatankuasa PAS kawasan.