Home Kenyataan Media PAS Wilayah

PPN Fasa 4 : Terima kasih Barisan Hadapan, Rakyat Labuan cakna SOP

70
SHARE

ALHAMDULILLAH, setinggi tinggi syukur kehadrat Allah S.W.T atas kurniaan ini.

Kejayaan ini sudah tentu tidak datang begitu saja tanpa usaha yang serius dan strategi yang efektif.

Wabak ini telah banyak memerah keringat, pengorbanan masa dan tenaga serta minda seluruh warga yang terlibat. Tidak kurang juga ramai saudara mara serta sahabat handai yang menjadi mangsanya (semoga Allah merahmati kesemua arwah yang terkorban).

Bermula dari barisan hadapan, Kementerian Wilayah Persekutuan, Perbadanan Labuan, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD), Kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia, PDRM, anggota tentera, RELA, pemimpin-pemimpin tempatan, NGO-NGO, sukarelawan dan seluruh warga Pulau Labuan.

Begitu juga MAIWP, JAWI, Jabatan Kebajikan Masyarakat serta pihak swasta yang giat membantu serta melaksanakan tugas mengagih bantuan kewangan dan makanan yang menjadi keperluan kehidupan rakyat Labuan.

Program-program bacaan doa serta munajat secara atas talian yang tidak putus-putus dilaksanakan oleh masjid dan surau semasa dan selepas ‘outbreak‘ terus menurus berlangsung sehingga ke hari ini.

Kesemua itu adalah ikhtiar gigih dan tidak jemu-jemu warga Labuan usahakan bersama demi untuk mengurangkan impak dan memutuskan rantaian wabak COVID-19.

Akhirnya Labuan berjaya menurunkan kadar jangkitan atau kes harian sehingga ke angka 1 digit selama hampir 2 minggu hingga hari ini.

Namun begitu kami warga Labuan masih komited untuk mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Kami juga sedar pelbagai kemungkinan akan datang sekiranya kami leka dan lalai.

Walaupun sudah ada beberapa tuntutan supaya kelonggaran diberikan bagi merancakkan ekonomi pulau bebas cukai ini, namun pihak berkuasa masih berhati-hati dan bercermat mengawal setiap kemasukkan ke Labuan, baik melalui laut mahupun udara.

Semua usaha pengawalan tersebut mesti dikekalkan dan disokong walaupun perit, kerana ini adalah harga yang mahal untuk setiap pihak terpaksa bayar atau korbankan demi maslahat menjaga nyawa rakyat dan kelestarian kehidupan manusiawi.

HAJI HAMIR HAJI ZAHARI
Yang Dipertua PAS Kawasan Labuan
Timbalan Pengerusi
Majlis Penasihat Perbadanan Labuan

25 Ogos 2021