Home Berita PAS Melaka

Rencana: 40 Tahun PASTI membina generasi bertakwa

706
SHARE

Oleh: Shawal Ahmad

SUDAH hampir 40 tahun usia Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI), yang diasaskan pada awal 1970-an dengan tujuan untuk mendidik anak-anak kearah membina generasi bertakwa.

Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) antara produk pendidikan PAS yang paling berjaya dan setiap tahun menjadi pilihan ramai ibu bapa.

Walaupun PASTI tidak ada dana yang tetap dan hanya mengharapkan sumbangan orang ramai, alhamdulillah sampai ke saat ini, belum ada lagi PASTI yang terpaksa ditutup.

PAS satu-satunya parti yang mempunyai sistem pendidikan tersendiri dan tersusun rapi. Bukan itu sahaja, kini PAS maju setapak lagi dengan adanya SRITI (Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam) dan SMITI (Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam) lanjutan dari PASTI.

PASTI adalah tempat anak-anak diasuh dan dididik dengan pelbagai ilmu pengetahuan yang bertujuan membangunkan rohani, emosi, intelek dan jasmani mereka mengikut acuan Islam.

Sebagai ibu bapa, menghantar anak belajar di PASTI adalah memenuhi tanggungjawab memberi pendidikan asas Islam kepada mereka.

Anak ibarat kain putih. Pendidikan akan mencorakkan kehidupan mereka pada masa hadapan.

Hari ini dengan kurikulum yang tersusun, memiliki buku teks sendiri, menjadikan institusi pengajian pra-sekolah ini mampu bersaing dengan institusi pra-sekolah lain.

Pendekatan pembelajaran juga lebih holistik tanpa membebankan minda kanak-kanak sebaliknya lebih kepada gabungan antara belajar dan bermain sesuai dengan usia mereka.

PASTI juga mempunyai Kurikulum Integrasi PASTI (KIP) yang memberi peluang kepada ibu bapa menghantar anak mengikuti aktiviti di pusat ini selepas jam 12.30 tengah hari.

Penyertaan ke PASTI juga tidak terbatas kepada ahli PAS ataupun umat Islam sahaja, sudah ramai yang meyakini pendidikan di PASTI lebih baik untuk anak anak mereka seawal usia empat tahun.

Guru-guru PASTI pula mempunyai kualiti dan kemahiran tinggi dalam pendidikan awal kanak-kanak.

PASTI sentiasa menaik taraf kelayakan guru-gurunya daripada sijil kepada Diploma Perguruan PASTI dari Institut Perguruan PASTI Malaysia.

Pada masa sama, guru juga diberi kursus berterusan bagi memantapkan kemahiran pengajaran.

Walaupun diploma itu tidak diiktiraf dalam pendidikan arus perdana namun guru PASTI sentiasa diintai pihak luar (swasta) kerana kemahiran tinggi dalam pendidikan awal kanak-kanak.

Sebahagian besar mereka yang memilih kerjaya sebagai guru PASTI bukanlah berniat untuk mencari rezeki semata mata tetapi lebih didorong rasa tanggungjawab untuk membantu mendidik anak anak PASTI, suatu kerja yang tidak ramai orang sanggup lakukan.

Sebahagian anak-anak PASTI telah pun berjaya dan menyandang jawatan penting di mana-mana sahaja.

Sebagai warga pendidik Pendidikan Awal Kanak-kanak anda harus berbangga dengan kerjaya ini kerana andalah penentu dalam mencorakkan personaliti, sahsiah dan keperibadian anak-anak kecil ini.

Kalau mereka hendak mencari rezeki semata mata mereka ada peluang yang lebih baik kerana rata-rata mereka mempunyai kelulusan akademik.

Diakui juga kelemahan dan kekurangan sesetengah PASTI dalam menguruskan institusi pendidikan ini dari sudut dana dan kewangannya untuk mengurus imbuhan (gaji) guru-guru yang mungkin tidak setimpal dengan tugas dan pengorbanan mereka.

Semoga penat jerih semua GURU dan Majlis Guru PASTI yang tidak pernah jemu mendidik dan menambahbaik pengurusan PASTI, dibalas dengan sebaik-baik ganjaran oleh Allah S.W.T. Amin.

Penulis adalah Wartawan Rakyat Melaka (WARM).