Home Berita PAS Melaka

Rencana : Halatuju ekonomi negara tahun 2021 – tahun pemulihan

658
SHARE

Oleh : Ibnu Janie

BARU-BARU ini Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM), Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, Indeks Pelopor (IP) pada Oktober 2020 merekodkan peningkatan selepas mencatatkan pertumbuhan 6.3 peratus untuk mencapai 108.7 mata daripada 102.3 mata pada Oktober 2019.

Kata beliau momentum itu didorong terutamanya oleh Indeks Perusahaan Bursa Malaysia dengan Indeks Penjagaan Kesihatan sebagai pemacu kepada pertumbuhan.

IP merupakan satu indeks ekonomi yang digunakan untuk menjangkakan hala tuju prestasi ekonomi negara bagi empat hingga enam bulan ke hadapan berdasarkan satu-satu bulan rujukan.

Contohnya, IP untuk bulan rujukan Januari 2020 akan digunakan untuk menjangkakan prestasi ekonomi untuk bulan Mei hingga Julai 2020. IP untuk bulan Februari 2020 pula digunakan untuk menjangkakan prestasi ekonomi bagi bulan Jun hingga Ogos 2020. Begitulah seterusnya.

Ada tujuh indikator yang digunakan untuk mendapatkan nilai IP ini. Yang pertama ialah penawaran wang benar iaitu M1. Kedua Indeks Perusahaan Bursa Malaysia. Yang ketiga import benar semikonduktor.

Yang keempat import benar logam asas berharga dan logam bukan ferus lain. Yang kelima bilangan unit kediaman yang diluluskan pembinaan oleh kerajaan. Yang keenam jangkaan nilai jualan pembuatan. Yang ketujuh bilangan syarikat baharu didaftar.

IP asas menjangkakan tahap ekonomi akan datang

IP ini dijadikan asas untuk menjangkakan tahap ekonomi pada masa akan datang kerana perkara yang dinilai itu adalah sesuatu yang akan memberi kesan pada masa hadapan.

Sebagai contoh, jika banyak syarikat-syarikat baharu ditubuh dan didaftarkan, ini menunjukkan bahawa pada bulan-bulan seterusnya ekonomi akan menjadi rancak dengan aktiviti perniagaan yang juga akan mewujudkan peluang pekerjaan, manakala keuntungan yang bakal dijana daripada perniagaan baharu itu pula bakal memberikan pulangan cukai pada kerajaan.

Satu lagi indeks yang digunakan untuk mengukur tahap ekonomi ialah Indeks Serentak (IS). IS ini digunakan untuk mengukur nilai semasa ekonomi. Namun IS tidak menggambarkan tentang masa hadapan.

Contohnya pada masa berlakunya wabak Covid-19 yang teruk dan berlakunya ‘lock down’ maka perniagaan akan merosot. Maka kadar IS (situasi semasa) akan menurun pada masa itu.

Jika pada masa itu belum ada berita-berita baik yang menunjukkan wabak ini akan dapat diatasi, maka IS (situasi semasa) bulan itu akan menurun dan IPnya (jangkaan akan datang) juga akan menurun. Dalam kata lain situasi semasa teruk dan jangkaan pada masa akan datang juga kekal teruk.

Namun jika pada masa itu berlakunya Covid-19 yang teruk, namun diberitakan bahawa vaksin telah ditemui dan bakal diterima beberapa bulan akan datang maka situasi itu akan membuatkan ISnya (situasi semasa) menurun, namun IPnya (jangkaan akan datang) meningkat pada bulan itu. Ini cara mudah untuk memahami IP dan IS.

Laporan IP terkini

Berbalik kepada laporan IP terkini yang dibentangkan oleh Ketua Perangkawan Negara tadi, meskipun tahun ke tahun IP meningkat, secara bulanan IP menurun sebanyak 0.7 peratus. Antara komponen utama yang mempengaruhi penurunan tersebut adalah Bilangan Syarikat Baharu Didaftar (-0.8 peratus) dan Import Benar Logam Asas Berharga dan Logam Bukan Ferus Lain (-0.4 peratus).

Menurut Mohd Uzir, walaupun IP perlahan pada bulan rujukan, kadar pertumbuhan IP terlicin konsisten di atas trend. Justeru, beliau berkata ekonomi Malaysia dijangka akan terus berada di landasan pemulihan pada bulan-bulan terawal tahun 2021.

Ini ditambah dengan harapan vaksin Covid-19 telah melonjakkan sentimen optimis di peringkat global dan mencetuskan kesan yang lebih baik kepada prospek ekonomi, kata beliau.

Dalam masa yang sama, Mohd Uzir berkata Indeks Serentak (IS) menurun sebanyak 1.1 peratus bulan ke bulan untuk mencapai 112.0 mata pada bulan rujukan berbanding 113.3 mata pada September 2020.

Katanya lagi, prestasi IS yang menggambarkan aktiviti ekonomi semasa menurun kepada negatif 2.4 peratus pada Oktober 2020 daripada 114.8 mata pada tahun sebelumnya.

Sementara itu, Indeks Difusi bagi IP dan IS pada Oktober 2020 masing-masing mencatatkan 100.0 peratus. Menurut beliau, ini menunjukkan bahawa semua komponen meningkat berbanding enam bulan sebelumnya.

Kajian Bloomberg

Selain daripada penilaian terhadap IP dan IS, kajian yang dibuat oleh Bloomberg yang dilaporkan oleh portal berita Awani baru-baru ini juga menambahkan ĺagi kenyakinan terhadap kemungkinan pemulihan ekonomi negara untuk tahun 2021.

Awani dalam laporan itu menyatakan bahawa Malaysia disenaraikan oleh Bloomberg sebagai antara sepuluh ekonomi membangun dunia yang dijangkakan pulih, malah mampu menepati jangkaan pada tahun 2021.

Menurut laporan itu lagi, kajian oleh Bloomberg itu menunjukkan bahawa Malaysia terletak di tangga kelima dengan jangkaan peningkatan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak 6.8 peratus pada 2021.

Malaysia terletak di tangga sepuluh tertinggi dalam indeks perintah berkurung atau ‘lockdown’ Indeks 49.2, berbanding Thailand, Russia, Korea Selatan dan Taiwan iaitu kurang 25.0 bagi indeks berkenaan.

Secara keseluruhan laporan itu menyebut, Thailand menduduki tempat pertama dan diikuti Russia, Korea Selatan, dan Taiwan. Kajian berkenaan telah melibatkan 17 pasaran membangun dan 11 garis penentu untuk menilai prestasi pertumbuhan ekonomi sesebuah negara.

Penulis adalah Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Melaka dan Ketua Penerangan PAS Kawasan Masjid Tanah Melaka

Rencana ini telah disiarkan di Harakah cetak pada 4 Januari 2021 




Ggg