Home Berita PAS Melaka

PAS Kulai lancar jentera bantuan banjir

590
SHARE

Oleh : Abu Hadif

KULAI, 6 Jan : PAS Kawasan Kulai telah melancarkan jentera operasi banjir melalui Khidmat Malaysia (KM) Kulai yang berfungsi untuk membantu meringankan beban penduduk yang terjejas akibat banjir yang melanda daerah ini.

Ketua Operasi Bertindak Banjir Pas Kulai, Shahariman Muhd berkata, hujan tanpa henti bermula 1 Januari lepas telah mengakibatkan banjir sehingga menyebabkan beberapa kawasan penduduk di sini terjejas terutama yang berdekatan dengan sungai dan parit.

Kerana itu menurut Shahariman, PAS Kulai telah bertindak dengan membentuk pasukan petugas dan merangka gerakerja pelaksanaan misi dengan segera untuk membantu mangsa banjir di sini.

Tambah beliau, gerak kerja bantuan ini dilakukan setelah mereka melakukan pemantauan dengan merujuk kepada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang berada sekitar daerah ini.

Menurut beliau, selain menyampaikan sumbangan di semua PPS, sejak beberapa hari lepas sehingga petang semalam, pasukan ini juga telah mengunjungi beberapa rumah di Kampung Pisang Bukit Batu dan Kampung Murni Jaya Kulai bagi melakukan operasi pembersihan rumah-rumah mangsa banjir yang telah dibenarkan kembali ke rumah masing-masing di samping menghulurkan sumbangan barangan keperluan.

Sebanyak empat buah PPS telah dibuka di Daerah Kulai untuk menampung penempatan mangsa-mangsa banjir di sini setakat ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual Wartawan Rakyat Melaka (WARM) di sini, semalam.

Laporan disediakan Wartawan Rakyat Melaka (WARM) yang sedang membuat liputan banjir di Johor.