Home Berita PAS Melaka

Bantuan sumbangan Parlimen Masjid Tanah dan Yayasan Bank Rakyat ditunggu-tunggu – Ustaz Imran

1258
SHARE

Oleh : Ibnu Janie

MASJID TANAH, 4 Jan: “Bantuan dan sumbangan ini merupakan sesuatu yang ditunggu-tunggu oleh orang ramai yang tidak berkemampuan.

“Kita tahu sekarang ni ramai rakyat yang terkesan dengan Covid-19. Ramai orang berada dalam keadaan tidak cukup sekarang ini.

“Tapi anak-anak nak sekolah. Banyak belanja untuk anak-anak nak mula masuk sekolah ni. Bukan sikit belanjanya. Mereka ini sangat perlukan bantuan. Jadi sumbangan ni saya lihat sangat bermakna.”

Demikian dinyatakan oleh Timbalan Pesuruhjaya-2 PAS Negeri Melaka, Ustaz Imran Abdul Rahman ketika ditemuramah Wartawan Rakyat Malaysia (WARM) dalam program Jom Kembali Ke Sekolah 2021 anjuran Pusat Khidmat Ahli Parlimen Masjid Tanah yang berlangsung di Dewan Kompleks Sukan Masjid Tanah, di sini, semalam.

“Saya melihat YB Mas Ermieyati (Ahli Parlimen Masjid Tanah) ini memang sangat mengambil berat soal rakyat Masjid Tanah. Selama saya berurusan dengan YB Mas ni memang soal kebajikan rakyat dia memang sangat ambil berat,” ujar beliau.

Ustaz Imran yang juga merupakan Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah itu berkata lagi, Yayasan Bank Rakyat juga dilihat telah memainkan peranan besar dalam membantu rakyat melalui program sumbangan seperti ini.

“Yayasan Bank Rakyat ni adalah contoh CSR daripada organisasi korporat besar seperti Bank Rakyat yang dapat membantu orang ramai.

“Kita berharap semoga Bank Rakyat akan memperolehi lebih banyak keuntungan dan dapat bantu rakyat lebih banyak lagi. Insya-Allah,” ujar Ustaz Imran lagi.

Program ini melibatkan sumbangan daripada Yayasan Bank Rakyat untuk 500 orang pelajar yang mana setiap seorang menerima peralatan dan uniform sekolah bernilai RM150 dengan jumlah peruntukan RM75,000 selain peruntukan tambahan daripada Pusat Khidmat Parlimen Masjid Tanah sendiri untuk 200 orang pelajar lagi yang menerima peralatan dan uniform sekolah bernilai RM180 setiap seorang melibatkan peruntukan berjumlah RM36000.

Program dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Datuk Wira Hajah Mas Ermieyati Samsudin yang juga merupakan Ahli Parlimen Masjid Tanah.

Turut hadir Pengurus Jabatan Program Yayasan Bank Rakyat Parlimen Masjid Tanah, Mohd Mukhti Abd Rahman, Pengarah Jabatan Kesenian Negara Negeri Melaka, Ezlina Alias, Penolong Pegawai Daerah Alor Gajah, Mohd Azlan Zainal, Timbalan Pegawai Pendidikan Sektor Pembangunan Murid, Ustaz Jamaluddin Ahmad, Pegawai Belia Dan Sukan Daerah Alor Gajah, Sodikin Md Ali.