Home Berita PAS Melaka

Nasi goreng tomyam bawa tuah pada Muhammad Badri

482
SHARE

Oleh : Ibnu Janie

MASJID TANAH, 4 Jan : Menu nasi goreng tomyam yang dimasak oleh adik Muhammad Badri Shah Mohammad Sahir, 14, benar-benar membawa tuah pada beliau apabila dinobatkan sebagai Johan bagi Kategori Sekolah Menengah pertandingan Chef Cilik.

Program anjuran Pusat Khidmat Ahli Parlimen Masjid Tanah ini berlangsung di Dewan Kompleks Sukan Masjid Tanah di sini, pagi semalam.

Muhammad Badri yang kini pelajar tingkatan dua pendidikan khas di Sekolah Menengah Kebangsaan Rahmat Kuala Sungai Baru, berasal dari Kampung Kuala Linggi  ini membawa pulang wang tunai berjumlah RM500, sijil penghargaan dan goodies.

Kemenangan ini bertambah manis buat Muhammad Badri apabila adiknya Nur Syafiqah Mohammad Sahir, 13, pula menjadi naib johan bagi Kategori Sekolah Rendah dalam pertandingan yang sama.

Syafiqah yang memasak menu nasi goreng daging petai membawa pulang wang tunai sebanyak RM300, sijil penyertaan dan goodies.

Bagi naib johan Kategori Sekolah Menengah pula disandang oleh Nur Nadia Umairah Basiron dan tempat ketiga pula disandang oleh adik Nazrin Shah Iskandar Zulkarnain.

Nadia membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM300, sementara Nazrin pula membawa pulang wang tunai sebanyak RM200 selain sijil penyertaan dan goodies.

Sementara itu bagi johan Kategori Sekolah Rendah pula disandang oleh adik Khairunnur Humairah Baharuddin sementara tempat ketiga pula jatuh kepada adik Nazrin Shah Iskandar Zulkarnain di mana mereka membawa pulang hadiah dengan nilai yang sama diterima Kategori Sekolah Menengah tadi.

Seramai 11 orang peserta daripada Kategori Sekolah Rendah dan sembilan peserta Kategori Sekolah Menengah menyertai pertandingan ini.

Sementara itu bagi pertandingan Inang Challange pula johan disandang oleh adik Nur Fariesya Mohamad, naib johan disandang oleh pasangan adik, Alya Nabihah Nasri dan adik Mohd Yusri Huslani Abdullah sementara tempat ketiga disandang oleh adik Muhd Najmi Nor Afendi.

Bagi acara Inang Challenge ini johan membawa pulang hadiah wang tunai RM500, naib johan RM300 dan tempat ketiga pula menerima RM200 selain sijil penghargaan dan goodies.

Kedua-dua pertandingan ini dijalankan bersama bersempena dengan Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan sumbangan Yayasan Bank Rakyat peringkat Parlimen Masjid Tanah bagi tahun 2021.

Program dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Datuk Wira Hajah Mas Ermieyati Samsudin yang juga merupakan Ahli Parlimen Masjid Tanah.

Turut hadir Timbalan Pesuruhjaya-2 PAS Negeri Melaka, Ustaz Imran Abdul Rahman, Pengurus Jabatan Program Yayasan Bank Rakyat Parlimen Masjid Tanah, Mohd Mukhti Abd Rahman, Pengarah Jabatan Kesenian Negara Negeri Melaka, Ezlina Alias, Penolong Pegawai Daerah Alor Gajah, Mohd Azlan Zainal, Timbalan Pegawai Pendidikan Sektor Pembangunan Murid, Ustaz Jamaluddin Ahmad, Pegawai Belia Dan Sukan Daerah Alor Gajah, Sodikin Md Ali.

Sementara itu Exco NGO, Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Melaka, YB Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen pula hadir untuk memukul gong sebagai simbolik bermulanya pertandingan Chef Cilik dan Inang Challenge sekitar jam 8.30 pagi.

Beliau sebelum itu bersama dalam program kayuhan basikal ‘Fun Ride’ bersama-sama dengan orang ramai menyantuni para pengundi sekitar Masjid Tanah dan mengedarkan facemask percuma.