4 JANUARI 1959 (AHAD)
PADA hari ini dalam tahun 1959, Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak bin Hussein telah melancarkan perkhidmatan siaran terus Radio Malaya dari stesennya di Rumah Persekutuan, Kuala Lumpur.
Dengan itu bermulalah siaran berasingan Radio Malaya, yang telah ditubuhkan sejak 1946, dan beroperasi di Singapura. Pada masa yang sama stesen di Singapura dikenali dengan Radio Singapura.
Dalam ucapannya, Tun Abdul Razak berkata, perpindahan itu perlu kerana kerajaan sedar tentang pentingnya perkhidmatan Radio Malaya diperluaskan.
Langkah tersebut juga adalah sejajar dengan rancangan masa hadapan perkhidmatan radio yang telah siap diatur. Antaranya ialah untuk membuka dua buah stesen baharu iaitu di Pulau Pinang dan Melaka.
Manakala bagi pendengar di Pantai Timur pula, Timbalan Perdana Menteri memberitahu, usaha sedang dibuat dengan kerjasama Jabatan Telekom bagi mendirikan alat pemancar gelombang sederhana di Kota Bharu, Kuala Terengganu dan Kuantan.
Di peringkat permulaan, siaran berita masih terus disiarkan dari stesen di Singapura. Begitu juga dengan siaran ke sekolah-sekolah.
Tun Abdul Razak mencadangkan supaya diadakan siaran berita daerah, khusus melaporkan peristiwa yang berlaku di sekitar Semenanjung.
Berpindahnya stesen penyiaran Radio Malaya dari Singapura, pada hari ini dalam tahun 1959, jelas mencatatkan sejarah baharu dalam perkembangan bidang penyiaran di negara ini.
Sumber : Ihsan Arkib Negara Malaysia