Home Artikel PAS Melaka

Rencana : Sorotan setahun Muafakat Nasional Melaka

361
SHARE

 

Oleh : Ibnu Janie

PADA masa rencana ini ditulis, PAS Melaka sedang giat melangsungkan program Jelajah 100 Hari PAS Di Dalam Kerajaan Melaka. Program ini adalah sebagai satu medan untuk pimpinan PAS Negeri Melaka di bawah pimpinan Pesuruhjaya PAS Melaka, Datuk Ustaz Kamarudin Sidek memberikan penerangan kepada pimpinan dan ahli PAS Negeri Melaka terhadap apa peranan dan kejayaan PAS negeri ini sepanjang berada di dalam kerajaan negeri selama ini.

Program kelolaan Jabatan Penerangan PAS Melaka ini sebenarnya mengambil sempena 100 hari atau pun tiga bulan PAS bersama dengan kerajaan Negeri Melaka semenjak kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang dan digantikan dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN) awal tahun ini.

Program ‘road tour’ ke kawasan-kawasan ini sepatutnya berlangsung dari bulan Oktober hingga November. Namun, oleh kerana Melaka terpaksa melalui Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 9 November lepas maka program ini ditangguhkan dan disambung semula baru-baru ini.

Dalam rencana ini, penulis akan menyorot perjalanan sebuah kerajaan baharu PAS bersama Umno yang terbina daripada runtuhan ‘Kota PH’ di bumi Melaka Bersejarah ini.

Penyatuan ummah bersejarah PAS dan Umno

Selaras dengan hasrat pucuk pimpinan PAS dan Umno yang mahukan kedua-dua parti ini untuk bersatu dalam satu pakatan rasmi yang dipanggil Muafakat Nasional (MN) maka PAS dan Umno Negeri Melaka turut sama mendukung aspirasi ini.

Himpunan Penyatuan Ummah (HPU914) yang berlangsung pada 14 September 2019 yang menyaksikan termeterainya Piagam Muafakat Nasional di peringkat nasional sebenarnya telah dimulai dengan sambutan di peringkat negeri-negeri dan Wilayah.

Pakatan antara PAS dan Umno Melaka boleh dikatakan bermula secara rasmi pada 8 September tahun lepas dengan berlangsungnya program sambutan HPU 914 peringkat Negeri Melaka beberapa hari sebelum majlis menandatangani piagamnya secara rasmi di PWTC itu.

Program yang berlangsung di Dewan Muallim Bukit Katil Melaka itu diserikan dengan ceramah yang disampaikan oleh dua orang tokoh penting PAS dan Umno iaitu Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi bersama dengan Pengerusi Perhubungan Umno Kedah, Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir Baharom.

Semenjak itu PAS dan Umno Melaka tidak menoleh ke belakang lagi.

Tahun baharu 2020 membawa harapan besar era baharu perjuangan orang Melayu dengan penyatuan ini. Penyatuan ini terus meriah dengan pelbagai program secara bersama bagaikan tidak pernah berlaku perselisihan dan pertembungan antara kedua-dua parti ini. Semuanya demi Islam dan kepentingan Umat Islam.

Ahli dan pimpinan PAS telah bersetuju untuk melupakan segala perit dan luka lama demi untuk kepentingan ummah. Ia adalah satu pengorbanan yang maha besar demi untuk masa depan ummah. Program ceramah bersama berjalan bersama saban malam. Pada masa itu PAS dan Umno bergelar pembangkang. Cuma PAS pada masa itu adalah pembangkang yang lebih senior!

Ura-ura perpecahan antara parti dalam PH memberi harapan kepada MN untuk membentuk kerajaan bersama lebih awal daripada yang dijangka dan tanpa melalui pilihan raya.

Kerajaan PH tumbang, PAS berperanan kecil dalam kerajaan baharu

Akhirnya dengan keluarnya Bersatu daripada Pakatan Harapan di peringkat Persekutuan maka secara rasminya jatuhlah kerajaan PH Melaka apabila Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali (ketika itu Datuk) yang mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka yang baharu pada 9 Mac awal tahun ini.

Dengan itu bermulalah pula peranan PAS sebagai rakan MN bersama Umno menjadi kerajaan di dalam pentadbiran kerajaan Melaka yang baru dibentuk itu.

Ketiadaan wakil PAS di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka mahu pun di Parlimen Persekutuan dikatakan agak membataskan peranan PAS untuk pergi lebih jauh dalam pentadbiran kerajaan Negeri Melaka.

Pelantikan wakil-wakil parti pemerintah di dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan Ahli-ahli Majlis Kerajaan Tempatan dalam Negeri Melaka sekitar April tahun ini menyaksikan tidak ada seorang pun wakil PAS berpeluang memegang jawatan-jawatan itu.

Wakil-wakil daripada MIC dan MCA pula tetap mendapat tempat walau pun mereka sama seperti PAS tidak ada seorang wakil pun di DUN atau Parlimen di Negeri Melaka ini.

Seterusnya, sekitar bulan Mei tahun ini, pelantikan Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang merupakan format baharu kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) ketika zaman PH dahulu pula menyaksikan PAS diberi peranan yang tidak besar dengan hanya beberapa orang wakil PAS seluruh Melaka diberi peluang memegang jawatan Pengerusi JPKK di beberapa buah kampung.

Pelantikan Pesuruhjaya PAS sebagai Penasihat Agama Ketua Menteri Melaka

Pesuruhjaya PAS Melaka, Datuk Ustaz Kamarudin Sidek pula dilantik sebagai Penasihat Agama Kepada Ketua Menteri Melaka sekitar bulan April 2020. Satu pelantikan yang bermakna kepada PAS Melaka.

Dengan pelantikan ini sebenarnya dapat membawa suara dan aspirasi PAS di dalam kerajaan Melaka terutamanya dalam hal-hal berkaitan dengan agama Islam yang menjadi ‘core business’ PAS selama ini.

Dengan pelantikan ini PAS Melaka dapat memberi sumbangan buah fikiran secara rasmi kepada Agensi-agensi Agama Kerajaan Melaka seperti Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Pusat Zakat Melaka dan lain-lain agensi berkaitan.

Berbanding dengan peranan di dalam JPKK, GLC dan kerajaan tempatan, PAS diberi ruang yang lebih selesa dalam pentadbiran masjid-masjid di sekitar Melaka dengan ramai pimpinan dan ahli-ahli PAS yang dilantik ke jawatan Pengerusi Masjid selain jawatan Ahli Jawatankuasa Masjid yang lain pada bulan Julai tahun ini.

Penulis percaya PAS akan mendapat peranan lebih besar pada masa akan datang apabila berlakunya Pilihan Raya Negeri atau Pilihan Raya Umum ke 15. Ia sesuai dengan semangat  Muafakat Nasional yang ditandatangani dengan linangan air mata pada 14 September tahun lepas di PWTC.

Penulis adalah Ketua Unit Berita dan WARM Jabatan Penerangan PAS Melaka dan Ketua Penerangan PAS Kawasan Masjid Tanah.

Rencana ini telah disiarkan di Harakah cetak pada 28 Disember 2020