Home Berita PAS Melaka

Rencana : Skandal kartel daging – Jenama unsur Islam perlu dikawal ketat

489
SHARE

Oleh : Ibnu Janie

PENDEDAHAN tentang skandal kartel daging seludup yang didedahkan oleh wartawan dua buah akhbar arus perdana tempatan baru-baru ini sudah pasti bukan satu perkara kecil jika kita menelusuri fakta-fakta daripada penyiasatan mereka itu.

Menurut Pengarah KPDNHEP Putrajaya, Datuk Iskandar Halim Sulaiman, hasil siasatan terhadap gudang yang diserbu dan diambil tindakan mengikut Seksyen 5 Akta Perihal Dagangan 2011 itu didapati ia mempunyai kaitan dengan 30 pusat pengedaran.

Dikatakan gudang yang dianggarkan menyimpan 1,500 tan daging sejuk beku bernilai RM30 juta itu adalah pembekal utama kepada pemborong daging sejuk beku seluruh Malaysia!

Ini membuktikan bahawa kartel ini bukan calang-calang perniagaan! Bukan pengusaha produk tiruan yang beroperasi di belakang rumah! Malah operasinya turut melibatkan pengimportan bekalan daging mentah dari beberapa negara luar! Bukan kecil-kecil anak punya perniagaan!

Jenama berunsur Islam isu penting

Penulis melihat antara isu penting yang perlu kepada tindakan holistik oleh pihak kerajaan berdasarkan skandal ini ialah berkaitan dengan penggunaan jenama berunsur Islam yang menjadi senjata ampuh peniaga-peniaga jahat untuk menipu dan mengelirukan umat Islam.

Inì jelas dinyatakan oleh wartawan akhbar tempatan yang telah melakukan penyiasatan tentang perkara ini. Sindiket ini telah menggunakan nama beberapa orang individu Muslim, tanpa pengetahuan mereka, yang mana nama mereka digunakan untuk membuka beberapa buah syarikat untuk mengoperasikan perniagaan mereka ini.

Mengikut laporan pendedahan itu, individu-individu yang nama mereka digunakan sebagai proksi ini mengaku bahawa mereka sebelum ini pernah membuat pinjaman ‘Ah Long’ dan mungkin daripada situlah maklumat peribadi mereka telah digunakan untuk penubuhan beberapa syarikat proksi ini.

Syarikat ini sengaja diletakkan pemiliknya orang Islam dan syarikat itu pula menggunakan nama Islam sudah pasti untuk mengaburi peĺanggan-pelanggan Muslim yang sedia diketahui amat mengambil berat soal halal dan haram berkaitan makanan.

Penulis secara peribadi sebenarnya sudah menulis banyak rencana semenjak tahun 2008 lagi menyarankan agar kerajaan menguatkuasakan dan mengawal nama berunsur Islam sebagai nama syarikat atau jenama produk agar ia hanya eksklusif kepada syarikat milik orang Islam sahaja.

Namun mengawal hak penggunaan jenama dan nama syarikat berunsur Islam sahaja tidak cukup sekiranya tidak ada kawalan terhadap syarikat atau jenama berunsur Islam daripada dijadikan sebagai proķsi kepada peniaga bukan Islam.

Ini untuk mengelakkan daripada orang Islam sendiri dipergunakan untuk membolehkan pula syarikat atau jenama yang dimiliki oleh orang bukan Islam untuk mengambil jalan mudah menjual produk mereka terutama produk makanan kepada orang Islam seperti yang terjadi di dalam skandal kartel daging ini.

Skandal kartel daging bukti jenama Islam diperalat

Apa yang berlaku di dalam skandal kartel daging ini jelas membuktikan bahawa strategi menggunakan nama Islam dan individu Islam sebagai proksi adalah senjata ampuh golongan bukan Islam yang mahu mencari untung dengan memanipulasi sikap umat Islam yang sangat mengambiĺ berat terhadap halal haram terutama dalam hal pemakanan.

Kawalan kepada unsur proksi ini kita boleh lakukan sama dengan kaedah yang digunakan untuk persijilan halal. Jika persijilan halal memerlukan pengeluar membuktikan bahawa mereka sejak daripada proses mendapatkan bahan mentah mestilah daripada pembekal yang juga ada sijil halal, begitulah yang perlu dilakukan kepada pengesahan nama dan jenama syarikat berunsur Islam ini.

Ini bagi mengelakkan pengeluar jenama berunsur Islam ini hanya menjadi proksi kepada syarikat pengeluar bukan Islam yang mana sebenarnya produk itu tidak dibuat mengikut kaedah halal tetapi kemudiannya dijual oleh sebuah syarikat orang Islam dan menggunakan jenama Islam.

Penalti tinggi untuk penyalahgunaan jenama unsur Islam

Undang-undang kawalan kepada nama dan jenama berunsur Islam ini perlu menyatakan dengan jelas agar tindakan undang-undang dan penguatkuasaan boleh dikenakan kepada mereka yang didapati menggunakan jenama atau nama syarikat berunsur Islam ini sebagai proksi kepada perniagaan milik orang bukan Islam.

Untuk menjadikan undang-undang ini dihormati maka penalti yang tinggi haruslah ditetapkan buat mereka melanggarnya. Penalti sekurang- kuranya RM1 juta mungkin berpatutan memandangkan kesalahan ini bukan melibatkan individu semata-mata tetapi ia melibatkan syarikat-syarikat perniagaan yang besar.

Sebelum ini pun telah ada pendedahan tentang jenama beberapa produk bihun yang menggunakan jenama berunsur Islam. Bihun ini bukan sahaja sebenarnya diusahakan oleh pengusaha bukan Islam malah tempat memproses produk ini juga sangat kotor dan menjijikan.

Nama syarikat dan jenama berunsur Islam pada masa ini sudah menjadi satu ‘goodwill’ dan ‘aset tak nampak’ yang sangat berharga kepada peniaga-peniaga bukan Islam.

Sekiranya perkara ini tidak dikawal dengan undang-undang dibimbangi satu masa nanti ramai orang Islam yang akan menjadi kuda tunggangan orang bukan Islam untuk menjadi proksi mereka bagi membolehkan produk mereka menembusi pasaran orang-orang Islam.

Selagi undang-undang ini tidak dizahirkan selagi itulah orang Islam akan berada dalam kebimbangan dan keresahan terhadap banyak produk dengan jenama berunsur Islam yang banyak di pasaran sekarang ini.

Penulis adalah Ketua Unit Berita dan WARM Jabatan Penerangan PAS Melaka dan Ketua Penerangan PAS Kawasan Masjid Tanah Melaka

Rencana ini pernah disiarkan di Harakah cetak pada 1 Januari 2021