Home Berita PAS Melaka

PAS bantu rakyat tanpa mengira warna kulit – Zainudin

693
SHARE

Oleh : Abu Fadhil

JASIN, 25 Dis: Pengerusi Lujnah Perpaduan Nasional Negeri Melaka Zainudin Ab. Latif berkata semua NGO dan agensi kerajaan perlu membantu rakyat yang dalam kesusahan pada masa sekarang ini tanpa mengira warna kulit.

“Hari ini kami turun padang membantu orang susah terutamanya asnaf dengan mengunjungi sebanyak 10 rumah.

“Kami membantu tidak mengira warna kulit dan agama, enam daripadanya adalah daripada kaum Melayu, dua daripadanya adalah daripada kaum Tionghua dan dua lagi, daripada kaum India,” ujar beliau.

Zainudin berkata demikian ketika ditemui Wartawan Rakyat Melaka (WARM) dalam program turun padang anjuran Lajnah Perpaduan Nasional PAS Melaka di DUN Rim dan DUN Bemban, di sini, kelmarin.

Program yang dijalankan dengan kerjasama PAS Kawasan Jasin, NGO Baitul Faqih dan UMNO Cawangan Kemendor ini menyasarkan golongan warga emas, asnaf, fakir dan yang berpenyakit kronik yang memerlukan bantuan.

Turut hadir bersama dalam menjayakan program ini Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Jasin, Suhaimi Harun bersama-sama dengan aktivis-aktivis NGO Baitul Faqih, JPKK, PAS dan UMNO Dun Rim dan Bemban.