Home Berita PAS Melaka

Hari ini dalam sejarah : Pertempuran malam Natal

541
SHARE

25 DISEMBER 1972 – ISNIN

PADA hari ini dalam tahun 1972, satu pertempuran hebat di antara Platun Harimau Batalion ke 9 Rejimen Askar Melayu Di Raja dengan segerombolan pengganas komunis di Jambusan, Bahagian Pertama, Sarawak berlaku di Malam Sambutan Perayaan Natal 1972.

Dalam gerakan pertempuran tersebut, seramai empat anggota pengganas komunis terkoran dan beberapa orang lagi mendapat kecederaan. Kejadian ini berlaku sebagai tindak balas kepada serang hendap yang dilakukan oleh segerombolan pengganas komunis ke atas anggota pasukan keselamatan pada 20 Disember 1972.

Berikutan dengan peristiwa tersebut, anggota-anggota Platun Harimau ditugaskan bagi mengesan kumpulan pengganas yang dipercayai menuju ke kawasan tertentu di bahagian pertama.

Kejayaan gerakan ini bergantung kepada keberanian dan kebijaksanaan Sarjan Jantan b. Nyamat, seorang anggota Platun Harimau yang mempunyai banyak pengalaman di hutan.

Peristiwa Malam Natal ini memaparkan keberanian Sarjan Jantan yang membawa kepada penganugerahan Pingat Pahlawan Gagah Berani sebagai menghargai jasa yang dilakukannya.

Skrip: Nurzuliana Kamaruzaman / Arkib Negara Malaysia

Sumber : Ihsan Arkib Negara Malaysia