Home Berita PAS Melaka

Kalam murabbi DUPNM : Erti amal

474
SHARE

بسم الله الرحمن الرحيم

AMAL bermaksud kerja. Yang dimaksudkan di sini ialah kerja-kerja yang dituntut di dalam Islam. Inilah yang disebut sebagai amal soleh.

Amal merupakan makam yang tinggi dalam Islam. Semua perkara yang terdapat dalam perbahasan fiqh dan syariat adalah amal bagi Muslim. Kerana itu jugalah banyak kita dapati perintah beramal selalu disebut dalam Al Quran selepas perintah beriman. Antara firman Allah SWT:

Surah Al-Bayyinah ayat 7-8:

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمۡ خَيۡرُ ٱلۡبَرِيَّةِ (٧) جَزَآؤُهُمۡ عِندَ رَبِّہِمۡ جَنَّـٰتُ عَدۡنٍ۬ تَجۡرِى مِن تَحۡتِہَا ٱلۡأَنۡہَـٰرُ خَـٰلِدِينَ فِيہَآ أَبَدً۬ا‌ۖ رَّضِىَ ٱللَّهُ عَنۡہُمۡ وَرَضُواْ عَنۡهُ‌ۚ ذَٲلِكَ لِمَنۡ خَشِىَ رَبَّهُ ۥ (٨)

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amalan-amalan soleh, mereka itu adalah sebaik-baik makhluk. Ganjaran mereka di sisi Tuhan ialah syurga-syurga Adnin yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Allah reda terhadap mereka dan mereka pula reda terhadapnya. Yang demikian itu ialah ganjaran bagi orang yang takut kepada Tuhannya.”

Tidak cukup dengan sekadar beriman sahaja, seseorang Muslim mestilah membuktikan iman mereka dengan melaksanakan amalan-amalan yang diperintahkan oleh Allah SWT. Jika tidak, mereka dianggap berbohong dengan iman mereka.

Amal yang soleh adalah hasil daripada dua elemen iaitu kefahaman dan keikhlasan yang sejati. Kedua ini menjadi prasyarat penerimaan amalan seseorang di sisi Allah swt. Kerana itulah Imam Hasan Al Banna meletakkan amal pada rukun bai’ah yang ketiga selepas faham dan ikhlas. Seseorang yang berada dalam jemaah Islam haruslah menyedari bahawa jemaah ini bukan hanya berteori semata-semata, bukan hanya pandai bercakap dan mengkiritik itu dan ini, tetapi perlu untuk turun ke medan amal melaksanakan setiap arahan dan perancangan daripada jemaah.

Bahagian amal

Amal adalah tonggak yang penting dalam Islam selepas ilmu dan Iman. Amal tonggak Islam yang disebut rukun Islam. Adapun amal Islami tidak hanya terbatas sekadar lima rukun tersebut, bahkan ia lebih luas mencakupi setiap kewajipan yang disuruh oleh Al Quran dan Sunnah. Kerja-kerja yang dituntut oleh Islam boleh dibahagikan kepada tiga bagi memudahkan kita untuk mengamalkannya secara tersusun tanpa mengabaikan antaranya:

1) Amal Fardi

-Amal fardi bermaksud amalan yang dilakukan individu atas insiatif dan kesedaran dirinya. Ia lahir daripada keimanan sebagai seorang Islam untuk maslahah dirinya yang memberi manfaat hanya untuk dirinya.

2) Amal Jamaie

– Amal Jamaie pula adalah kerja berkumpulan yang dilakukan mengikut tuntutan dan arahan daripada kepimpinan gerakan Islam dalam mencapai matlamat penubuhannya secara sistematik. Manfaatnya lebih kepada memperkukuh organisasi jemaah dan ahli-ahlinya sendiri. Inilah amal yang kita fokuskan di sini.

3) Amal Ijtimaie

Amal Ijtimaie bermaksud kerja-kerja kemasyarakatan yang dilakukan untuk maslahah masyarakat umum selain daripada diri dan ahli-ahli jemaah.

Semua yang di atas adalah amal soleh. Amal soleh adalah hasil daripada dua elemen iaitu kefahaman yang jelas dan keikhlasan yang sejati. Kedua-dua ini menjadi prasyarat penerimaan amalan seseorang di sisi Allah SWT. Kerana itulah Imam Hasan Al Banna meletakkan amal pada rukun yang ketiga selepas faham dan ikhlas.

Seseorang yang berada dalam jemaah Islam haruslah menyedari bahawa jemaah ini bukan hanya teori semata-semata, tetapi perlu turun ke medan amal melaksanakan setiap arahan dan perancangan daripada jemaah.

Walaupun kita melihat ahli jemaah Islam itu ramai, tetapi yang benar-benar terlibat dalam aktiviti jemaah terlalu sedikit. Masing-masing punya berbagai-bagai alasan yang mereka sangka mampu lepas di hadapan Allah swt. Samada mereka benar atau berbohong, yang pastinya seseorang Muslim tidak boleh hanya Islam hanya untuk dirinya sahaja, tetapi perlu memastikan Islam terus tersebar di dalam masyarakat mengikut kemampuan masing-masing.

Allah tidak memandang hasil amalan itu berjaya atau tidak. Seseorang mesti bekerja samada hasil kerja memberi kejayaan atau kekalahan. Seseorang mestilah mempunyai kesungguhan dalam melaksanakan amal tersebut dan jangan sesekali berputus asa.

“Dan katakanlah wahai Muhammad ‘Hendaklah kamu semua berusaha (beramal) kerana Allah akan melihat dan menilai apa yang kamu usahakan.” (Surah At Taubah, ayat 105)

USTAZ IMRAN ABDUL RAHMAN
-Timbalan Pesuruhjaya-2 PAS Melaka
-Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Melaka
-Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah