Home Berita PAS Melaka

Dr Zulkifli bagi ‘duit raya’ untuk hadirin cilik dalam program YADIM

394
SHARE

Oleh : Ibnu Janie

MASJID TANAH, 20 Dis: Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Bahagian Hal Ehwal Agama, YB Senator Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri memberikan ‘duit raya’ kepada kanak-kanak yang turut hadir dalam majlis perasmian program Is’ad Al Usrah dan Musa’adah, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) di Kampung Tanjung Dahan, di sini petang semalam.

Menurut Dr Zulkifli pemberian itu adalah sebagai sedekah dengan harapan sumbangan yang kecil itu dapat menggembirakan mereka yang kebanyakannya terjejas akibat Covid-19.

Program ini berlangsung dengan tujuan utamanya untuk menyempurnakan bantuan bagi program Is’ad Al Usrah dan Musa’adah YADIM yang diterima oleh seorang nelayan, Hasni Zaini Zam.

Hasni yang juga bapa kepada empat orang anak ini menerima bantuan berjumlah RM15 ribu bagi membaiki rumah dan enjin botnya yang rosak di samping untuk membeli barang keperluan harian.

Selain itu seramai 20 orang lagi penduduk turut menerima sumbangan berbentuk wang tunai dan barangan dapur.

Turut menyampaikan ucapan di dalam majlis ini ialah Yang Dipertua YADIM, Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi.

Antara tetamu kehormat yang hadir di dalam program ini ialah ADUN Kuala Linggi, Datuk Wira AR Ismail Othman, Mufti Kerajaan Negeri Melaka, Sahibus Samahah Datuk Wira Abdul Halim Tawil, Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka, Datuk Md Azhan Samat , Timbalan Pesuruhjaya-2 PAS Melaka, Ustaz Imran Abdul Rahman, Ketua Dewan Pemuda PAS Melaka, Ustaz Ahmad Bilal Rahudin dan pimpinan masyarakat tempatan.

Manakala rombongan yang turut bersama dengan Menteri JPM dan YADIM ini ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Akbar Samon, Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh dan pasukan sukarelawan YADIM.