Home Berita PAS Melaka

Hari ini dalam sejarah : Perjanjian Sultan Kedah – Jepun

1362
SHARE

19 DISEMBER 1941

PADA hari ini dalam tahun 1941, Baginda Sultan Kedah, DYMM Tuanku Abdul Hamid Halim Shah iaitu Sultan Kedah yang ke 25 telah menandatangani satu perjanjian dengan pihak Jepun di Kulim, Kedah, berikutan dengan kejatuhan negeri Kedah ke tangan Jepun.

Tentera Jepun mula bergerak ke Negeri Kedah pada 8 Disember 1941 apabila mereka mendarat di Alor Setar dan mengebom Lapangan Terbang Sungai Petani. Serangan Jepun di Alor Setar itu telah menyebabkan Baginda Sultan dan pihak kerajaan berpindah ke Kulim.

Baginda Sultan Kedah, DYMM Tuanku Abdul Hamid Halim Shah. (Kredit foto : Google)

Apabila keseluruhan Negeri Kedah telah ditakluki, lalu pihak Jepun mengadakan perjanjian dengan Sultan Kedah pada hari ini dalam tahun 1941. Menurut perjanjian ini, pihak Jepun mengakui Sultan Abdul Hamid Halim Shah sebagai Raja Negeri Kedah, tetapi pihak Jepun adalah pemegang kuasa dan semua arahan Jepun mesti dipatuhi.

Sesudah perjanjian ini ditandatangani, Baginda Sultan yang ketika itu sedang gering, dibawa balik ke Alor Setar. Baginda diiringi oleh anakandanya Tunku Abdul Rahman Putra dan disertai oleh Tunku Badlishah, Raja Muda.

Semua Pegawai Kanan Melayu Kedah yang menjawat jawatan semasa pemerintahan British juga dibenarkan kembali ke jawatan masing-masing. Dengan perjanjian yang termetrai di antara Sultan Kedah dan Gabenor Jepun pada hari ini dalam tahun 1941, maka bermulalah detik pemerintahan Tentera Jepun di Negeri Kedah.

Sumber : Ihsan Arkib Negara Malaysia