16 DISEMBER 1949
PADA hari ini dalam tahun 1949, para pelajar Maktab Perguruan Sultan Idris di Tanjong Malim telah memulaukan kelas dan pulang ke kampung. Mogok ini dilakukan oleh pelajar-pelajar tahun pertama dan tahun ketiga sebagai tanda simpati mereka terhadap tindakan yang diambil oleh pihak pentadbiran Maktab khususnya pentadbiran Inggeris ke atas pelajar-pelajar tahun kedua.
Hal ini berlaku ekoran daripada demontrasi yang dilakukan oleh para pelajar pada 10 Disember 1949 yang menyebabkan kesemua pelajar tahun kedua digantung persekolahannya dan diarah pulang. Keadaan ini menyebabkan Maktab tersebut terpaksa ditutup selama tiga bulan.
Demontrasi yang dilancarkan itu adalah bertujuan untuk menuntut diberikan hak-hak yang lebih luas kepada para pelajar. Kesedaran para pelajar yang berjuang menuntut hak-hak mereka itu jua ada kaitannya dengan percambahan semangat nasionalisme yang mula tumbuh subur selepas Perang Dua Kedua.
Dengan tindakan berani pelajar-pelajar tersebut menyebabkan pentadbiran Inggeris khususnya pentadbiran Maktab telah melayani tuntutan-tuntutan pihak pelajar selepas Maktab tersebut dibuka semula.
Sumber : Ihsan Arkib Negara Malaysia