Home Berita PAS Melaka

Iqtisad rakyat : Iktibar daripada kisah kejatuhan jenama telefon bimbit Nokia

963
SHARE

Assalamualaikum

BERSUA kita kembali untuk ruangan Iqtisad Rakyat. Pada siri kali ini saya ingin mengajak semua pembaca untuk mengambil iktibar dari kegagalan atau kesilapan yang lalu untuk kita bangkit berjaya di masa hadapan.

Telefon bimbit atau telefon mudah alih mula berada di pasaran dunia sekitar awal tahun 90an. Penulis masih ingat sewaktu ingin pulang ke tanahair suatu ketika dulu, ada di antara rakan-rakan penuntut yang bercerita tentang telefon bimbit dan mencari-cari telefon bimbit di sana. Itu kisah dulu-dulu yang menyimpan pelbagai kenangan.

Antara jenama yang tersohor ketika itu ialah Nokia, buatan negara Finland. Ada beberapa jenama yang lain seperti NEC, Ericson dan lain-lain. Namun tidak mampu bersaing dengan Nokia yang sentiasa menjadi pilihan pengguna.

Sekitar tahun 2000, jenama Samsung buatan Korea mula berada di pasaran. Namun ketika itu Nokia terus menjadi gergasi dan sentiasa meletakkan Samsung sebagai seteru pertama, yang mana Samsung tidak mampu untuk merampas takhta Raja Telefon Bimbit daripada Nokia.

Beberapa model Nokia seperti Nokia ‘Sabun’, Nokia ‘Butterfly’ dan beberapa model yang lain sering menjadi bualan hangat dan kegilaan pengguna tanpa mengira golongan tua dan muda. Golongan berada pula cenderung kepada model kelas premium seperti Nokia N90, Nokia N95, dan sebagainya. Jenama Nokia dan modelnya dianggap antara aksesori tambahan yang dibanggai pada masa itu.

Nokia terus relevan dengan sistem operasi Symbian. Kemudian berpindah kepada sistem operasi Windows Mobile. Seterusnya Windows Mobile dijenamakan semula menjadi Windows Phone. Pertukaran daripada sistem operasi Symbian kepada Microsoft adalah hasil kerjasama Microsoft dan Nokia pada tahun 2011, yang diumumkan oleh CEO Microsoft, Steve Ballmer dan juga CEO Nokia, Stephen Elop. Termeterainya perjanjian ini menjadikan Nokia sebagai ‘kuasa besar’ dan peranti utama yang menjalankan sistem operasi Windows Phone.

Teknologi berubah seiring dengan perkembangan masa. Pengeluar telefon bimbit yang lain seperti Samsung dari Korea terus berusaha untuk meningkatkan teknologi. Begitu juga dengan jenama Apple dari negara Amerika. Sistem operasi Android (bagi jenama Samsung) yang merupakan produk Google, dan iOS keluaran Apple dilihat lebih segar, relevan, dan berdaya saing.

Nokia pula dilihat seperti enggan berganjak daripada Windows Phone mereka kepada Android. Walhal, Android dilihat sebagai sistem operasi masa hadapan yang lebih relevan dan mempunyai daya saing yang tinggi untuk terus hidup dalam perseteruan dengan iOS. Lantaran itu jenama buatan negara Korea dan Amerika itu mula mendapat tempat di hati pengguna dan ramai di antara mereka yang telah beralih arah.

Akibat tidak mampu bersaing dengan peranti Android mahupun iOS, akhirnya Nokia dijual kepada Microsoft dengan jumlah perpindahan sebanyak $7.2 bilion pada September 2013. Dengan pembelian ini, Microsoft diberikan hak dan lesen untuk menggunakan jenama ‘Nokia Lumia’ sehingga tahun 2016.

CEO Nokia pada ketika itu, Stephen Elop berkata pada sidang media dengan nada yang sedih, “Kami tidak melakukan apa-apa kesilapan, namun kami telah tewas”. Daripada kata-kata ini jelas menunjukkan bahawa mereka tidak belajar daripada kesilapan dan enggan mengambil pengajaran. Teknologi yang berada di takuk lama masih digunakan dan mungkin terlalu ego untuk meninggalkan apa yang telah mereka bangunkan selama ini.

Selepas dari itu Nokia cuba bangkit semula namun ternyata mereka sukar dan tidak berdaya untuk bersaing. Ditambah lagi dengan keluarnya beberapa jenama telefon pintar yang lain dari negeri China seperti Vivo, OPPO dan lain-lain yang lebih hebat dan memenuhi citarasa pengguna masakini, jenama Nokia terus hilang daripada pasaran dunia.

Daripada kegagalan Nokia ini, apa yang kita dapat pelajari adalah, kita mesti bergerak seiring dengan kepesatan dan kemajuan teknologi untuk kekal relevan dan mampu bersaing. Keegoan yang tidak ditunduk akan tertunduk dengan sendirinya.

Akhir kata sebagai kesimpulan dan pengajaran, dalam apa jua bidang dan keadaan yang kita lalui, belajarlah untuk membaca keadaan serta berusaha untuk merendahkan diri dan menerima sebarang pandangan yang membina demi kelangsungan perniagaan kita dan apa jua bidang yang kita ceburi.

Terima kasih dan moga bermanfaat

“ISLAM MEMPERKUKUH PERPADUAN”

#AllahJagaKita
#DemiIslam

HAJI RAFIE AHMAD
Ketua Lajnah Ekonomi PAS Melaka
Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Tangga Batu