Home Berita PAS Melaka

Sawit ‘tulang belakang’ kepada sektor komuditi negara – Bakri

387
SHARE

Oleh : Ibnatdeen

TANGGA BATU, 8 Dis : Industri sawit merupakan tulang belakang kepada sektor komoditi negara, itu ulasan Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Tangga Batu, Bakri Jamaluddin dalam forum Bicara Halatuju Bajet 2021 anjuran Jabatan Penerangan PAS Melaka malam kelmarin.

Ketika diminta mengulas mengenai belanjawan secara khusus yang melibatkan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, beliau menjelaskan Sektor Pertanian merupakan antara sektor terbesar yang menyumbang kepada komoditi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dengan capaian 7.3 peratus bersamaan RM99.5 bilion.

“Daripada jumlah tersebut industri sawit menyumbang sebanyak 37 atau 38 peratus kepada sektor pertanian,” ujarnya.

Mengimbau krisis ekonomi yang melanda Malaysia pada tahun 1998, beliau yang juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah Malaysian Palm Oil Board (MPOB) itu berkata industri sawit juga menjadi penyelamat dengan capaian sekitar RM30 bilion kepada pendapatan negara.

“Walaupun sawit tidak mendapat peruntukan yang besar bajet pada tahun ini, dengan kecekapan pihak kementerian dan kakitangan kerajaan, sawit ini mampu menjadi penyumbang utama ketika penguncupan ekonomi negara,” tambah beliau lagi.

Beliau turut memuji usaha kerajaan dalam memberi 60 peratus subsidi upah kepada pekerja tempatan.

“Ini adalah langkah yang betul diambil oleh kerajaan Malaysia. Pekerja-pekerja asing yang sudah tamat tempoh perkhidmatan sebaiknya digantikan dengan menggaji pekerja-pekerja tempatan,” ujarnya.

Malaysia mempunyai sekitar 2.3 juta pekerja asing yang melibatkan hampir semua sektor menyebabkan aliran keluar tunai hampir RM30 bilion setahun.

Forum Bicara Halatuju Bajet 2021 ini turut menampilkan Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Tangga Batu yang juga Pengerusi Lajnah Ekonomi PAS Melaka, Rafie Ahmad dan Ketua Lajnah Ekonomi PAS Kawasan Tangga Batu, Shaharuddin Yusof.

Forum anjuran PAS Kawasan Tangga Batu ini disiarkan secara langsung di Facebook PAS Negeri Melaka.