Home Berita PAS Melaka

Geran padanan RM30 juta: Tingkatkan mekanisasi dan automasi industri sawit

640
SHARE

Oleh : Ibnatdeen

TANGGA BATU, 8 Dis: Membahaskan isu industri sawit yang tidak mendapat peruntukan besar dalam Belanjawan 2021, ahli panel Bicara Halatuju Belanjawan 2021, Bakri Jamaluddin menyifatkan ia sebenarnya sebagai satu impak yang besar kepada Malaysia dalam jangka masa panjang.

Mengakui peruntukan yang tidak besar diberikan kepada industri sawit, beliau yang juga Ahli Lembaga Pengarah Malaysian Palm Oil Board (MPOB) menjelaskan mengenai fungsi dan peranan geran padanan RM30 juta yang diperkenalkan kerajaan dalam Belanjawan 2021 bagi meningkatkan mekanisasi dan automasi industri sawit di Malaysia.

“Sebenarnya, Malaysia agak ketinggalan jauh ke belakang dari sudut mekanisasi dan automasi. Apabila ketinggalan ke belakang ini mengakibatan Malaysia terpaksa mengambil pekerja luar. Dalam situasi Covid-19, pengeluaran sektor perladangan berkurang akibat kekurangan 37 ribu pekerja luar untuk bekerja,” ujar beliau.

Tambah beliau, kecanggihan teknologi yang ada hari ini mampu menatijahkan kesan yang lebih baik seperti peningkatan produktiviti, penjimatan tenaga kerja serta menjadikan kerja bertambah mudah dan berprestij.

“Dengan adanya geran padanan RM30 juta ini, melalui cadangan penubuhan konsortium di antara pihak kerajaan dan pemain utama dalam industri, mereka akan memberikan fokus sebenuhnya kepada usaha penyelidikan dan pembangunan bagi sistem mekanisasi dan automasi dalam sektor perladangan,” tambah Bakri lagi.

Jelasnya lagi, walaupun sesetengah pihak mengganggap nilaian RM30 juta itu kecil, namun ia usaha yang baik bagi langkah permulaan dengan mewujudkan sistem mekanisasi dan automasi yang sesuai dengan keperluan dalam sektor perladangan.

Bakri yang juga merupakan Ketua Penerangan PAS Negeri Melaka dan Yang Dipertua PAS Kawasan Tangga Batu itu berkata demikian dalam Bicara Halatuju Bajet 2021 anjuran PAS Kawasan Tangga Batu malam kelmarin.

Forum yang disiarkan secara langsung di Facebook PAS Negeri Melaka ini turut menampilkan Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Tangga Batu yang juga Pengerusi Lajnah Ekonomi PAS Melaka, Rafie Ahmad dan Ketua Lajnah Ekonomi PAS Kawasan Tangga Batu, Shaharuddin Yusof.