Home Artikel PAS Melaka

Rumah baharu untuk keselesaan anak-anak belajar – Hajah Kintan

312
SHARE

Oleh : Ibnu Janie

JASIN, 3 Dis : Rumah baharu yang dibina dengan bantuan NGO Muslim Care Malaysia untuk seorang asnaf, Syaharudin Mashor, sebenarnya dengan tujuan utama untuk memberi keselesaan untuk anak-anaknya belajar.

“Yang pentingnya anak-anak mereka supaya belajar dalam suasana kondusif. Dan sebenarnya pelajaran itu menentukan masa depan.”

Demikian dinyatakan Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka, Hajah Kintan Man.

Menurut beliau, Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka sebenarnya memang mempunyai satu program untuk menyantuni golongan asnaf yang dipanggil Sutera Kasih Tautan Hati Budi Disemai Kasih Dituai.

“Program ini kita menyantuni golongan asnaf. Dan pada kali ini, daripada pihak Muslim Care yang meminta kami memilih rumah untuk mereka membantu membuatkan rumah (baharu).

“Jadi Encik Syaharudin ni terpilih. Sebenarnya ada empat buah rumah yang kami cadang. Dan kemudiannya kami memilih rumah Encik Syaharudin ni untuk dibantu oleh Muslim Care untuk mendapatkan dana dan untuk membuat rumah bagi Encik Syaharudin,” kata Hajah Kintan.

Menurut beliau, Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka, Dewan Muslimat PAS Kawasan Jasin dan Muslimat PAS Cawangan Serkam telah mengunjungi rumah Syaharudin ini setiap tahun untuk menyampaikan sumbangan khususnya dalam bulan Ramadan.

“Sebelum Muslim Care datang kita dah kenalpasti rumah ini memang layaklah untuk diberi bantuan sebuah rumah,” ujar beliau lagi.

Hajah Kintan yang juga merupakan Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Jasin itu berkata demikian ketika ditemuramah Wartawan Rakyat Melaka (WARM) semasa program penyerahan rumah tersebut di Kampung Serkam Pantai di sini semalam.

Penerima sumbangan tersebut, Syaharudin, yang bekerja sendiri dengan melakukan berbagai-bagai usaha untuk menyara keluarga antaranya menjadi tukang urut, pemotong rumput di samping berniaga secara kecil-kecilan akan menginap di rumah yang baru diterimanya ini bersama isteri dan empat orang anaknya.

Kunci rumah itu diserahkan sendiri oleh Timbalan Presiden NGO Muslim Care Malaysia, Mohd Johari Ismail dalam satu majlis ringkas yang diadakan di Surau Umri Serkam.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Pesuruhjaya PAS Melaka yang juga Penasihat Agama Ketua Menteri Melaka, Datuk Kamarudin Hj Sidek, Adun Serkam, YB Datuk Zaidi Attan, Presiden Muslim Care Southern Region, Dr Kamarudin Abu Hassan, Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Dewan Muslimat PAS Melaka, Anida Haron dan Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Jasin, Hajah Shopiah Ahmad.

Wartawan Rakyat Melaka (WARM)