Oleh: Shawal Ahmad
KOTA MELAKA, 20 Nov: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Kawasan Kota Melaka telah membuat satu laporan polis di Balai Polis Melaka Tengah, Melaka di sini semalam terhadap akaun Facebook Melaka State yang memuat naik satu imej berbaur sindiran, menghina dan sinis terhadap Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Laporan dibuat oleh Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Dewan Pemuda PAS Kawasan Kota Melaka (DPPKKM), Ustaz Muhammad Sabqi Abdul Samad.
Sabqi menyifatkan hal ini sebagai perkara yang tidak beradab dan terlalu melampau kepada seseorang atau sesebuah organisasi.
Menurut Sabqi, tindakan membuat laporan polis ini adalah sebagai tanda bantahan terhadap akaun Facebook tersebut yang telah memuatnaik poster berbaur fitnah, keji dan menghina terhadap YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.
“PAS berharap agar tindakan segera dan berat diambil oleh pihak berkuasa ke atas pemilik akaun berkenaan,” kata beliau ketika ditemuramah Wartawan Rakyat Melaka (WARM).
Semakan WARM di Facebook Melaka State mendapati pemilik akaun berkenaan turut memuat naik poster dan memaki hamun Tuan Guru selain turut memaki dan memfitnah Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah sebagai merasuah wartawan.
Turut mengiringi beliau dan membuat beberapa laporan polis setiap satu ialah YDP PAS Kawasan Kota Melaka, Ghapar Wahab, AJK PAS Kawasan Kota Melaka, Ketua DPPKKM, Ustaz Zulhilmi Suboh, Ketua Dewan Ulama PAS Kawasan Kota Melaka, Ustaz Sudin Nooh dan Pemangku Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Kota Melaka, Rohani Hassan.