Oleh : Ibnu Janie
MASJID TANAH, 13 Nov : 13 kes baharu dikesan di Melaka hari ini dengan 10 daripada kes itu dikesan di Mukim Merlimau (Daerah Jasin), kata laporan yang dihantar di laman Telegram rasmi Jabatan Kesihatan Melaka sebentar tadi.
Menurut laporan itu kesemua 10 kes yang dikesan di Mukim Merlimau itu adalah daripada Kluster BMU di mana sembilan daripadanya adalah kes jangkitan tempatan daripada saringan kontak rapat berumur 36, 58, 7, 23, 6, 29, 25, 24 dan 25 tahun sementara satu lagi kes adalah daripada kes saringan kesihatan bergejala berumur 34 tahun.
Sementara itu tiga lagi kes adalah daripada Kluster Berendam di mana dua daripadanya adalah daripada kategori kontak rapat yang setiap satu dikesan di Mukim Bukit Rambai (Daerah Melaka Tengah), 34 tahun, dan Belimbing (Daerah Alor Gajah) berumur 8 tahun, manakala satu kes lagi daripada kategori saringan tempat kerja yang dikesan di Mukim Batu Berendam (Daerah Melaka Tengah), 42 tahun.
Tambah laporan itu lagi sebanyak 46 kes masih dirawat di Hospital Melaka pada masa ini dan tiada kes sembuh baharu dan kematian baharu dilaporkan hari ini.
Kata laporan itu lagi, tiga mukim baharu diisytiharkan sebagai Zon Kuning hari ini iaitu mukim Merlimau, Belimbing dan Bukit Rambai di samping lapan mukim telah diisytiharkan sebelum ini iaitu mukim Ayer Panas, Ayer Molek, Cheng, Tanjung Minyak, Batu Berendam, Durian Tunggal, Klemak dan Chohong.
Hari ini juga Malaysia dikejutkan dengan statistik kes baharu Covid-19 seluruh negara berjumlah 1304 kes dengan Sabah mencatat jumlah negeri tertinggi dengan 556 kes.
Semua negeri dan Wilayah Persekutuan ada mencatatkan kes baharu kecuali Perlis, Pahang dan Terengganu.