Oleh : Ibnu Janie
MASJID TANAH, 12 Nov : Lapan kes baharu direkodkan di empat mukim dalam Negeri Melaka hari ini seperti yang dilaporkan oleh laman rasmi Telegram Jabatan Kesihatan Melaka sebentar tadi.
Menurut laporan itu dua kes jangkitan tempatan saringan tempat kerja berumur 36 dan 37 tahun di bawah Kluster Berendam di kesan di Mukim Batu Berendam, Daerah Melaka Tengah.
Laporan itu juga menyebut empat kes lagi daripada jangkitan tempatan saringan tempat kerja berumur 47, 71, 71 dan 83 tahun juga di bawah Kluster Berendam dikesan di Mukim Ayer Molek Daerah Melaka Tengah.
Tambah laporan itu, satu kes lagi direkodkan di Mukim Tanjung Minyak juga di Daerah Melaka Tengah daripada kategori jangkitan tempatan saringan kontak rapat berumur 28 tahun sementara satu kes lagi daripada kes jangkitan tempatan saringan kontak rapat berumur sembilan tahun dikesan di Mukim Ayer Panas, Daerah Jasin.
Kata laporan itu lagi, lapan mukim dikategorikan sebagai zon kuning dengan Mukim Ayer Panas menjadi mukim terbaru diletakkan di dalam kategori itu selain mukim Mukim Ayer Molek, Cheng, Tanjung Minyak, Batu Berendam, Durian Tunggal, Klemak dan Chohong.
Laporan itu juga menyebut 33 kes aktif masih dirawat di Hospital Melaka selain terdapat satu kes sembuh baharu direkodkan hari ini.
Sementara itu 919 kes baharu dikesan di seluruh Malaysia hari ini dengan Sabah masih lagi menjadi negeri yang merekodkan kes tertinggi iaitu sebanyak 319 kes.