Home Berita PAS Melaka

Kalam murabbi : Amal Islami

4571
SHARE

Maksud amal Islami

AMAL Islami bermaksud kerja yang dilakukan untuk Islam. Amal adalah satu bahagian yang penting selepas ilmu/iman. Amal tonggak Islam disebut sebagai rukun Islam. Adapun amal Islami tidak hanya terbatas sekadar lima rukun tersebut bahkan lebih luas daripada itu.

Imam Syafie ada menyatakan “Orang berilmu yang sebenar hanyalah mereka yang beramal dengan ilmunya”.

Firman Allah SWT di dalam Surah At-Taubah ayat 105:

وَقُلِ اعْمَلُوا فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ ۖ وَسَتُرَدُّونَ إِلَىٰ عَالِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ

Ertinya:
Dan Katakanlah: “Bekerjalah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang Mukmin akan melihat pekerjaanmu itu, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.”

Bahagian amal Islami

1) Amal Fardi

Amal Fardi bermaksud amalan yang dilakukan oleh individu atas kesedaran darinya. Ia lahir dari keimanan seorang Islam untuk maslahah dirinya yang memberi manfaat hanya untuk dirinya seperti solat, zikir, baca Al Quran, menuntut ilmu, menjaga halal dan haram dan sebagainya.

Firman Allah SWT yang bermaksud,

“Wahai orang yang berselimut!
Bangunlah sembahyang Tahajjud pada waktu malam, selain dari sedikit masa,
Iaitu separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit dari separuh itu”
(Surah Al-Muzammil: 1-3)

2) Amal Jamaie

Amal Jamaie pula adalah kerja berkumpulan yang dilakukan mengikut tuntutan dan arahan daripada kepimpinan gerakan Islam dalam mencapai matlamat penubuhannya secara sistematik. Manfaatnya lebih kepada memperkukuh organisasi jemaah dan ahlinya sendiri.

Asasnya ialah perlu melibatkan diri dalam gerakan Islam yang menepati ciri-ciri yang dikehendaki oleh Islam. Gerakan Islam ini mestilah berperanan sebagai bayangan khilafah Islamiah yang meliputi seluruh aspek kehidupan manusia mengikut kemampuan yang ada.

Ianya termasuk program tarbiah seperti usrah, tamrin, muktamar dan lain-lain.

Bertepatan dengan firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 104 :

وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

Maksudnya: Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah daripada yang mungkar dan merekalah orang-orang yang beruntung.

3) Amal Ijtimaie

Amal ijtimaie bermaksud kerja-kerja kemasyarakatan yang dilakukan untuk maslahah masyarakat umum selain daripada diri dan ahli jemaah.

Contoh amal ijtimaie adalah seperti gotong-royong, jamuan, ceramah umum, berkecimpung dalam politik dan sebagainya.

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud,

“Orang beriman yang bergaul dengan masyarakat dan bersabar dengan kerenahnya lebih baik yang tidak bergaul dan bersabar dengan kerenahnya”.

HR Ibnu Majah

Kesimpulannya, kita hendaklah memahami konsep Amal Islami dengan sebaiknya serta mengamalkannya secara tersusun tanpa mengabaikan ketiga-tiga bahagian tersebut. Dan sentiasalah mengikhlaskan diri melakukan gerak kerja Islam bagi menyebarkan Islam itu sendiri sehingga terbinanya daulah Islamiah kelak.

Moga bermanfaat!

Rujukan: Nadi Perjuangan (Bil.7)

USTAZ IMRAN ABDUL RAHMAN
-Timbalan Pesuruhjaya -2 PAS Negeri Melaka
-Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Melaka
-Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah

Kredit sumber : FB Dewan Ulamak PAS Melaka


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)