Home Berita PAS Melaka

Rencana : Peluang dan cabaran parti-parti Melayu membentuk kerajaan selepas PRU15

833
SHARE

Oleh : Ibnu Janie

KITA tidak perlu kepada seorang penganalisis politik untuk menerangkan teori yang mengatakan bahawa apabila digabungkan undi yang diperolehi PAS dan Umno pada PRU14 boleh mengalahkan PH dalam PRU15. Teori ini sudah pun hadam bukan sahaja di kalangan orang PAS dan Umno, malah juga di kalangan seluruh masyarakat Malaysia.

Itu belum lagi ditambah dengan undi daripada mereka yang pada PRU14 menyokong Bersatu yang dahulu memihak kepada PH, pengundi atas pagar yang menyesal mengundi PH dan ahli-ahli PAS yang pada masa itu mengundi PH kerana percaya fitnah PAS menerima RM90 juta dari Umno.

Lebih-lebih lagi terdapat 117 kerusi di Semenanjung sahaja yang merupakan kerusi majoriti Melayu. Itu belum masuk kerusi majoriti Melayu di Sabah dan Sarawak. Namun teori itu hanya atas kertas. Dalam realiti ia tidak semudah ABC.

Perkara yang merosakkan pakatan politik

Penganalisis politik dari UUM, Prof Dr Kamarul Zaman Yusoff dalam satu hantaran Facebooknya tidak lama dulu ada mengulas tentang lima perkara yang menurut beliau boleh merosakan sesuatu pakatan politik.

Perkara itu, menurut Dr Kamarul, yang pertama ialah agihan jawatan kerajaan; kedua agihan kerusi pilihanraya ; ketiga kuasa memilih penjawat jawatan-jawatan kerajaan; keempat pengambilan tindakan disiplin terhadap ahli-ahli parti rakan dan yang kelima mobilisasi antara ahli-ahli parti.

Setakat ini penulis melihat memang kelima-lima perkara yang disenaraikan Dr Kamarul itu memang menjadi isu yang diperbincangkan dan menjadi sebab hubungan dingin antara Umno dan Bersatu yang bakal menyukarkan teori gabungan undi parti-parti Melayu itu tadi.

Malah beberapa orang pemimpin Umno sendiri ketika metafsirkan maksud kenyataan Zahid bahawa ‘Umno tidak boleh menghalang jika ada Ahli Parlimennya yang mahu menyokong Anwar’ menjelaskan bahawa ia hanyalah satu amaran kepada Muhyiddin agar tuntutan mereka dipenuhi.

Tuntutan ini adalah akibat daripada rasa tidak puas hati kerana Umno tidak dapat menjadi dominan dalam kerajaan persekutuan walau pun mendakwa mereka mempunyai Ahli Parlimen paling ramai sebagai satu parti secara individu. Dan yang terbaru, Umno juga tidak berpuas hati kerana tidak dapat menjadi Ketua Menteri di Sabah Ia sama seperti apa yang diperkatakan oleh Dr Kamarul itu.

Selain itu penulis juga melihat bahawa terlalu banyak teori konspirasi yang berlegar di ruang maya yang menggugat hubungan antara parti-parti Melayu ini. Malangnya cerita ini dipercayai pula oleh kebanyakan mereka di akar umbi dan diapi-apikan lagi oleh pemimpin-pemimpin pertengahan, menambahburukkan situasi ini.

Antara yang popular ialah teori yang mengatakan bahawa Muhyiddin sebenarnya mendapat arahan terus daripada Tun Mahathir untuk menghancurkan Umno, telah menimbulkan rasa curiga akar umbi Umno terhadap Bersatu. Sedangkan ia tidak diketahui kebenarannya. Dikhuatiri ia hanya kerja pihak-pihak yang tidak mahu melihat orang Melayu bersatu.

Selain itu sesuatu parti yang berasa bahawa mereka rugi dengan gabungan ini juga menimbulkan rasa kurang senang dan curiga sesama parti dalam gabungan ini.

Jadi teori gabungan undi PAS dan Umno yang kita semua tahu itu umpama hidangan makanan yang belum tentu lagi boleh kita santap sekiranya kita tidak dapat menyelesaikan hubungan sesama parti Melayu ini dan mendapat satu persepakatan yang jitu.

Cabaran untuk merealisasikan impian

Satu perkara menarik semasa Wawasan 2020 mula-mula didokumentasikan oleh kerajaan Tun Dr Mahathir sekitar lewat tahun 90an dahulu ialah wujudnya satu bahagian yang dipanggil ‘Sembilan Cabaran Untuk Mencapai Wawasan 2020’.

Mengapa sembilan cabaran ini dimasukkan dalam dokumen Wawasan 2020? Sembilan cabaran ini ialah senarai perkara yang perlu diselesaikan dahulu untuk membolehkan Wawasan 2020 itu dapat mencapai matlamatnya.

Jadi, untuk memastikan bahawa penyatuan parti-parti politik Melayu ini benar-benar membuahkan hasil dari sudut penguasaan kerusi-kerusi di parlimen dan DUN, beberapa cabaran harus diselesaikan dahulu.

Tiga cabaran untuk mencapai matlamat

Yang pertama, semua parti harus meletakkan kepentingan Melayu dan Islam sebagai keutamaan dengan sebenar-benarnya, bukan semata-mata retorik. Ia mesti dengan pembuktian yang realistik.

Yang kedua semua parti politik Melayu harus sedia berkongsi kuasa dengan penuh rasa lapang dada dan persaudaraan. Bagi penulis semua parti-parti Melayu utama ini harus menerima hakikat norma dan normal baharu realiti politik sekarang yang tidak sama seperti sebelum PRU14 dahulu. Tidak ada yang boleh mengaku dominan dalam situasi sekarang.

Yang ketiga semua pihak di dalam parti-parti Melayu ini perlu menghapuskan rasa curiga terhadap parti-parti rakan yang lain. Perlu ada sangka baik pada tahap yang tinggi.

Sungguhpun begitu, jika ada antara parti-parti Melayu ini merasakan yang gabungan parti-parti Melayu ini merugikan parti mereka, maka kita semua boleh bertanding secara bersendirian pada PRU15 untuk menguji siapa sebenarnya lebih berpengaruh. Dengan cara itu mungkin kita akan memberi kemenangan mudah kepada PH dan sekutunya.

Hakikatnya memang potensi gabungan parti-parti politik utama orang-orang Melayu ini untuk menang selesa tidak dapat dinafikan, tetapi jika dan hanya jika semua cabaran-cabaran tadi dapat diselesaikan dahulu.

Kejayaan teori ini bagaikan terkunci dengan cabaran-cabaran yang menjadi ruyung yang harus dipecahkan sebelum sagunya dapat dinikmati bersama.

Ada tiga kunci yang setiap satunya berbeza. Setiap satu parti memegang satu kunci. Namun ia hanya boleh dibuka jika ketiga-tiga kunci ini dibuka. Jika satu pihak sahaja pun tidak mahu membuka kunci ini maka ketiga-tiganya tidak akan dapat merasakan hasil daripada gabungan undi-undi Melayu ini.

Penulis adalah Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Melaka dan Ketua Penerangan PAS Kawasan Masjid Tanah Melaka

(Rencana ini telah disiarkan di Harakah cetak 9 November 2020)


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)