Home Artikel PAS Melaka

Mufti Melaka keluar surat pekeliling perlaksanaan aktiviti masjid dan surau sepanjang PKPB

726
SHARE

Oleh : Ibnu Janie

MASJID TANAH, 9 Nov : Pejabat Mufti Melaka semalam telah mengeluarkan satu surat pekeliling berkaitan perlaksanaan aktiviti di masjid dan surau seluruh Negeri Melaka dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menurut surat tersebut, dengan merujuk kepada arahan terkini kerajaan pada 7 November lepas berkaitan PKPB di seluruh Semenanjung (kecuali Perlis, Kelantan dan Pahang) termasuk Negeri Melaka mulai 9 November hingga 6 Disember dan dengan mengambil kira data semasa kes Covid-19 di negeri ini, maka Mufti Melaka selaku pengerusi dan bagi pihak Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka, memaklumkan beberapa ketetapan.

Menurut surat bertarikh 8 November dan ditandatangani oleh Mufti Melaka, Sahibus Samahah, Datuk Wira Haji Abdul Halim Tawil itu, solat Jumaat dan solat fardu dibenarkan untuk dilaksanakan di semua masjid dan ‘surau khas Jumaat’ Negeri Melaka dengan kehadiran jemaah mengikut kapasiti saiz masjid dengan penjarakan sosial dan pematuhan SOP yang sedia ada.

“Kelas pengajian takmir bacaan yaasin antara waktu Maghrib dan Isya, kuliah Subuh dan kelas ilmu berskala kecil yang sedia ada dibenarkan untuk dilaksanakan di semua masjid dan surau di Negeri Melaka.

“Ceramah Maulidur Rasul dan lain-lain ceramah jemputan rentas negeri dan dalam negeri yang berskala besar ditangguhkan dalam tempoh PKPB.

“Jamuan makan selepas kelas takmir, bacaan yaasin adalah tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKPB. Disyorkan secara bungkusan untuk dibawa balik.

“Urusan perkahwinan di masjid dan surau adalah tertakluk kepada bidang kuasa Jabatan Agama Islam Melaka dan Pendaftar Perkahwinan Daerah dan standard operating procedure (SOP) kesihatan dan hendaklah dipatuhi oleh masjid dan surau.

“Jabatan Mufti Melaka akan memberikan maklumat lanjut kepada masyarakat Islam di Negeri Melaka dari semasa ke semasa berdasarkan nasihat dan maklumat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kerajaan Negeri Melaka,” kata surat itu.


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)