Home Berita PAS Melaka

Tanda-tanda kiamat wujud sejak 1400 tahun yang lalu – Ustaz Imran

1311
SHARE

Oleh : Siti Hajar

HANG TUAH JAYA, 7 Nov : 1400 tahun yang lalu Allah SWT telah memberi amaran bahawa tanda-tanda kiamat itu semakin hampir bermula dengan kelahiran seorang Nabi dan Rasul terakhir, Muhammad bin Abdullah.

Begitu juga ujian Covid-19 sekarang, menjadi petanda waktu kiamat semakin dekat dan wajarlah penduduk Melaka khususnya, menjaga nikmat yang Allah kurniakan kerana masih boleh menjalankan aktiviti seharian mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Demikian menurut Ahli Lembaga Pengarah Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Ustaz Imran Abdul Rahman ketika menyampaikan ceramah Maulidur Rasul di Masjid An-Naim, Durian Tunggal, Alor Gajah, usai solat Maghrib malam tadi.

“Kita kena jaga nikmat yang Allah berikan sebelum ditarik dan nikmat yang paling besar ialah nikmat iman dan Islam.

“Cara nak jaga, kena ikut Rasulullah SAW. Tuan-tuan kena perbanyakkan selawat dan selawat tuan-tuan akan disampaikan oleh malaikat.

“Khatib dan para imam tidak lekang mengingatkan kita untuk selawat sebagaimana firman Allah SWT dalam Al-Quran, sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat kepada Nabi, maka wahai yang beriman berselawatlah kamu kepadanya dan ucaplah salam penghormatan kepadanya dengan sebaik selawat dan salam,” ucap beliau yang juga merupakan Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Melaka.

Mengimbau sirah Rasulullah SAW, Ustaz Imran menegaskan Rasulullah SAW adalah contoh ikutan terbaik dan umat Islam beruntung memiliki Baginda sebagai suri teladan kerana jika dibandingkan dengan agama Kristian yang mengagungkan Nabi Isa a.s, namun mereka tidak dapat menjadikan Nabi Isa a.s contoh dalam kehidupan sehari-hari atas faktor Nabi Isa A.S tidak berkahwin dan tidak mempunyai zuriat.

Ceramah ini juga disiarkan secara live di Facebook PAS Negeri Melaka.


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)