Oleh : Ibnu Janie
TANGGA BATU, 6 Nov: Mufti Melaka, Sahibus Samahah Datuk Hj Abdul Halim Tawil membacakan doa agar diberikan kesihatan dan keselamatan buat Ahli Lembaga Pengarah Kompleks Falak Al Khawarizmi, Ustaz Abdul Halim Maidin yang selamat menjalani pembedahan baru-baru ini.
Beliau membacakan doa tersebut dalam satu kunjungan ziarah beliau di rumah Ustaz Abdul Halim di Taman Sri Tanjung, Kampung Gelam pagi tadi.
Turut menyertai ziarah ini ialah Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), YB Datuk Md Rawi Mahmud, Ahli Lembaga Pengarah Kompleks Falak Al Khawarizmi yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Imran Abdul Rahman dan beberapa orang pegawai-pegawai kanan Kompleks Falak Al Khawarizmi.
Md Rawi yang juga merupakan Pengerusi Kompleks Falak Al Khawarizmi mewakili seluruh Ahli Lembaga Pengarah Kompleks Al Khawarizmi turut menyampaikan sumbangan kepada Ustaz Abdul Halim dalam ziarah tersebut.
Ustaz Abdul Halim, 61, yang juga merupakan mantan Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka, pada Khamis malam 22 Oktober lepas telah melalui satu pembedahan di Hospital Melaka bagi membuang sebahagian kaki kiri beliau sehingga ke paras paha akibat daripada penyakit kencing manis yang dihidapi beliau.