Oleh : Sumayyah Ahmad
MASJID TANAH, 6 Nov : PASTI dan SRITI Harun Ar-Rasyid berselawat ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad SAW sambil berarak sempena sambutan Maulidur Rasul, di kompleks Harun Ar Rasyid, di sini pagi semalam.
Menurut Mudir PASTI dan SRITI Harun Ar Rasyid, Mohd Taufik Jamil, tujuan program ini dijalankan adalah bagi memupuk sifat kasih sayang dan nilai berkaitan mencontohi akhlak Baginda Nabi Muhammad SAW dalam kalangan murid-murid.
Program diserikan dengan majlis ilmu melalui tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz Ahmad Salman Al-Hafiz Ahmad Faris, yang berkisarkan fenomena yang berlaku sebelum dan selepas Baginda dilahirkan, serta kisah perjuangan Baginda menegakkan Islam sehingga wafat.
Murid-murid kelihatan terharu dan hiba mendengar tazkirah tentang pengorbanan Rasulullah SAW dalam menyampaikan cahaya Islam kepada umat yang dicintai, tidak kurang juga mereka aktif dan bersemangat menjawab kuiz pada akhir sesi program tersebut.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Nazir SRITI Harun Ar-Rasyid, Cikgu Muhammad Hadun Musa, yang selama ini sentiasa memberi sokongan kepada program sekolah ini.
Selain itu, Pihak pengurusan PASTI dan SRITI Harun Rasyid turut memaklumkan bahawa mereka sedang dalam fasa membangunkan lagi struktur bangunan tambahan untuk keselesaan murid-murid dan tenaga pengajar di sini.
Justeru, pihak pengurusan memohon sumbangan dari orang ramai bagi membantu melancarkan lagi proses pembangunan.
Sebarang sumbangan bolehlah disalurkan pada akaun Maybank di atas nama PASTI Harun Ar-Rasyid, di nombor Akaun – 554101513404 atau Bank Rakyat di atas nama SRITI Harun Ar-Rasyid, nombor Akaun – 1100341327.