Home Berita PAS Melaka

Rencana : Usahawan dan cabaran Covid-19 : Mencari sinar di hujung terowong

1341
SHARE

Oleh : Ibnu Janie

ADA seorang sahabat penulis yang merupakan seorang kontraktor, baru setahun lepas mula berjinak-jinak bermain saham di Bursa Malaysia. Sekitar bulan Jun lepas penulis ada bertemu dengan beliau dan berbual-bual tentang saham. Rupanya beliau masih aktif bermain saham walau pun dalam suasana kegawatan ekonomi kesan daripada Covid-19 ini.

Lalu penulis bertanya pada beliau, tidakkah pada masa kini harga saham sedang merudum jatuh? Namun jawapan beliau agak mengejutkan.

Menurut beliau, memang banyak kaunter saham yang harganya jatuh kerana krisis ekonomi ini. Tapi, di sebalik kejatuhan itu ada juga kaunter-kaunter yang naik mencanak membuat keuntungan. Malah keuntungan yang sangat luar biasa.

Kata beliau, kaunter-kaunter yang berkaitan kesihatan dan penjagaan diri seperti pengeluar alat bantuan pernafasan (ventilator), pengeluar sarung tangan, pengeluar cecair ‘sanitizer’ mencatat keuntungan berkali-kali ganda.

Di Bursa Malaysia sebenarnya banyak kaunter-kaunter yang berharga di bawah sepuluh sen sesaham. Malah ada yang bernilai setengah sen, satu sen atau dua sen. Ada kaunter yang terlibat dengan perniagaan produk kesihatan yang bernilai setengah sen boleh naik sehingga sepuluh sen, kenaikan 20 kali ganda. Ini bermakna jika anda melabur sebanyak RM5000, saham anda boleh meningkat sehingga RM100000. Ini fakta bukan auta.

Memang ada penjelasan yang logik mengapa kaunter-kaunter ini mengaut keuntungan besar di saat-saat seperti ini. Bayangkan jika tiada Covid-19, siapa yang mahu membeli pelitup muka atau sarung tangan? Hanya doktor dan jururawat sahaja yang menggunakannya.

Semasa musim jerebu dahulu pun kita tidak menggunakan pelitup muka sebegini meluas. Namun permintaan untuk produk-produk mereka ini meningkat beratus malah beribu kali ganda semasa krisis ini melanda. Ini bermakna kaunter-kaunter yang kurang menarik pada situasi normal tiba-tiba bagaikan mendapat durian runtuh daripada musibah ini.

Peluang daripada musibah

Tapi bukan tentang saham yang penulis ingin bincangkan di sini. Apa yang penulis cuba sampaikan di sini ialah di sebalik kesukaran yang dihadapi akibat daripada Covid-19 ini terdapat peluang-peluang baharu yang wujud daripada musibah ini.

Namun untuk menggapai peluang ini bukan sesuatu yang mudah. Usahawan terpaksa melakukan banyak perubahan-perubahan untuk menyesuaikan usaha yang dilakukan dengan peluang yang wujud daripada musibah Covid-19 ini.

Mungkin usahawan terpaksa mengubah produk jualan mereka kepada produk yang bersesuaian. Terus-terang, untuk mengubah produk atau perniagaan memang sesuatu yang tidak mudah.

Bukan mudah untuk berubah

Penulis satu masa dahulu aktif berniaga menjual buku. Pada suatu ketika penulis berasakan bahawa penulis terpaksa menukar produk, kerana jualan buku tidak begitu memberansangkan. Lalu penulis mendapat peluang perniagaan baharu dengan menjual produk makanan kesihatan tambahan (supplement).

Pada masa itu penulis terpaksa membuat banyak ‘homework’. Menjual makanan kesihatan tambahan kena banyak tahu tentang masalah-masalah kesihatan dan penyakit. Ada pelanggan yang bercerita tentang masalah penyakit mereka dan meminta cadangan produk apa yang sesuai untuk mereka. Berpeluh juga ‘nak’ menjawab. Jauh perbezaannya daripada menjual buku berbanding menjual makanan kesihatan.

Segmen pelanggan yang tepat

Selain membuat perubahan pada produk yang dijual usahawan juga perlu mempunyai target pelanggan tertentu. Memang kita dapati ramai rakyat Malaysia yang hilang kuasa beli akibat daripada hilang pekerjaan atau menutup perniagaan.

Namun kita harus ingat ada segmen pelanggan yang tidak terjejas pendapatan mereka akibat daripada Covid-19 ini iaitu kakitangan kerajaan. Setakat ini tidak ada lagi kita dengar pembuangan pekerja secara besar-besaran atau pun berlaku pemotongan gaji di kalangan penjawat awam.

Malah semasa berlaku Covid-19 ini banyak insentif diterima oleh hampir keseluruhan penjawat awam. Jumlah kakitangan kerajaan juga besar. Jadi segmen ini masih boleh menjadi sasaran para peniaga.

Kaedah promosi dan pengedaran yang berkesan

Semasa berlaku PKP dahulu ada banyak grup-grup whatsapp yang dibuka oleh orang ramai yang mengumpulkan pelanggan-pelanggan dan peniaga-peniaga untuk mempromosi dan menjual produk mereka. Pada masa itu orang ramai sukar untuk keluar dan banyak kedai ditutup, jadi ia telah menjadi platform yang sangat bagus untuk pelanggan dan pembeli bertemu.

Mereka juga menyediakan khidmat penghantaran terus ke rumah yang dapat memudahkan pelanggan. Selain itu, boleh juga peniaga-peniaga menyewa tapak di pejabat-pejabat kerajaan yang memberi kebenaran kepada peniaga-peniaga untuk menyewa tapak.

Kita selalu dengar di saat ramai yang tersungkur jatuh ketika ekonomi gawat, ada pula orang yang berjaya meraih peluang, malah sengaja mencari peluang di dalam situasi umum yang sukar.

Ada yang mengumpul tunai semasa ekonomi baik dan membeli perniagaan atau bangunan-bangunan yang dijual murah oleh mereka yang terkesan dengan sesuatu krisis ekonomi yang sedang berlaku. Nampak seperti mengambil kesempatan, namun mereka bijak mencari peluang. Kerana itu cerdik pandai selalu berkata ‘dalam masalah itu selalu ada peluang’.

Jadi dengan memilih produk yang betul, segmen pelanggan yang betul, kaedah promosi dan pengedaran yang betul, usahawan masih boleh mencari peluang-peluang untuk menjana pendapatan yang bagus semasa Covid-19.

Orang kata, usahawan yang hebat dapat mencari peluang besar di dalam masalah yang melanda. Namun memang ia bukan mudah. Perlu kepada berfikir, merenung dan mengkaji. Dan selepas cukup maklumat, bertindak segera!

Penulis adalah Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Melaka dan Ketua Penerangan PAS Kawasan Masjid Tanah Melaka

(Rencana ini pernah disiarkan di dalam Harakah cetak keluaran 2 November 2020)


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)