Oleh : Ibnu Janie
HANG TUAH JAYA, 1 Nov : Aktivis PAS Kawasan Alor Gajah, Amdan Sudin mengucapkan terima kasih kepada pihak PAS Melaka dan PAS Kawasan Alor Gajah yang mencalonkan beliau untuk menerima anugerah pingat Bintang Cemerlang Melaka (BCM).
Beliau berkata demikian ketika ditemui Wartawan Rakyat Melaka (WARM) selepas menerima pingat tersebut sempena sambutan Hari Jadi yang ke 71, Tuan Yang Terutama, Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia (Dr.) Hj Mohd Ali Mohd Rustam di Dewan Seri Negeri di sini pagi tadi.
Amdan Sudin, atau lebih mesra dipanggil Cikgu Amdan, 77, dilahirkan pada 21 April, 1943 di Kampung Pondok Batang, Nyalas, Jasin, juga dibesarkan dan menetap di situ sehingga sekarang.
Cikgu Amdan mempunyai seorang isteri dan tujuh orang anak, dengan yang sulung kini berusia 52 tahun dan yang bongsu pula berusia 38 tahun.
Kerjaya beliau sebagai guru bermula pada tarikh keramat 13 Januari 1963 di sekolah Kebangsaan Asahan sehingga dinaikkan pangkat sebagai Guru Besar di sekolah yang sama dalam tahun 1977.
Beliau akhirnya bersara wajib pada tahun 1998 dan kali terakhir berkhidmat di Sekolah Kebangsaan Chabau.
Penglibatan beliau di dalam PAS pula bermula apabila beliau mendaftar menjadi ahli PAS pada tahun 1968 lagi.
Ekoran persempadanan semula kawasan pilihan raya pada tahun 1986 beliau telah dipilih sebagai Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Selandar (sekarang Kawasan Alor Gajah) yang pertama dan mengekalkan jawatan itu selama empat penggal.
Beliau juga pernah diamanahkan untuk menjadi calon pilihan raya pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 di DUN Asahan namun tidak memenangi kerusi itu pada masa itu.
Kini beliau masih lagi aktif di dalam PAS dengan memegang jawatan sebagai AJK PAS Kawasan Alor Gajah dan Pengarah Pilihan Raya DUN Asahan.
Pingat Bintang Cemerlang Melaka (BCM) yang diterima Cikgu Amdan ini mula dikurniakan pada tahun 1988 kepada orang perseorangan yang telah berbakti dan memberi perkhidmatan yang baik kepada Negeri Melaka namun tidak membawa sebarang gelaran.